USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WCM 2016: MOSTI MINAT TAWAR GERAN, DUNIA IKTIRAF SAINTIS NEGARA

DSC 3554

PULAU PINANG, 19 Julai 2016 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia menzahirkan minat untuk membantu Universiti Sains Malaysia (USM) mengembangkan pemindahan teknologi penyelidikannya yang memberi impak besar kepada komuniti tempatan.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, MOSTI mempunyai geran khusus yang dikenali sebagai MOSTI Social Innovation (MSI) yang boleh dipohon oleh penyelidik untuk pengkomersialan produk penyelidikan mereka yang memberi kesan langsung kepada komuniti.

MSI memperuntukkan jumlah maksimum sehingga RM500,000 kepada setiap penyelidik di negara ini yang berpotensi menjayakan program pemindahan ilmu atau pelaksanaan idea sama ada yang berbentuk produk, perkhidmatan atau model bagi memenuhi keperluan sosial.

Katanya, dalam konteks ini pihaknya tertarik dengan usaha penyelidik USM yang menjayakan pemindahan teknologi penternakan tiram hasil dari penyelidikan makmal kepada penduduk di Merbuk, Kedah yang berjaya meningkatkan tahap sosio-ekonomi nelayan di kawasan itu.

hotel1 1

DSC 3599gfh

Projek yang telah empat tahun dibangunkan itu memperlihatkan usaha penyelidik USM yang pakar dalam kajian haiwan lembut bercengkerang khususnya tiram, Profesor Madya Dr. Aileen Tan Shau Hwai berjaya memberi pulangan kepada penternak tiram sehingga berupaya memperoleh pendapatan mencecah RM5,000 ke RM10,000 sebulan.

“Kita menggalakkan usaha seumpama ini yang dapat meningkatkan sumber pendapatan komuniti. MOSTI komited untuk membantu kerana geran MSI diwujudkan secara eksklusif dan fokusnya adalah untuk penyelidik melakukan pemindahan teknologi kepada masyarakat.

“Penternakan tiram ini sangat unik kerana ia bukan sekadar memberi pulangan lumayan kepada penternak, malah mudah untuk diusahakan tanpa memerlukan modal yang besar kerana yang diperlukan hanya persekitaran yang sesuai dan kaedah yang betul untuk menjaganya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan World Congress of Malacology (WCM) 2016 yang menghimpunkan para saintis bidang malacology (kajian kerang-kerangan dan siput) yang berdiskusi membincangkan isu pemeliharaan organisma bercengkerang yang semakin diancam kepupusan, di sini hari ini.

hotel2

Bukan sekadar mencipta sejarah menjadi negara Asia kedua sebagai tuan rumah pada edisi ke-19 penganjurannya, kepakaran Aileen turut diiktiraf dunia dan beliau diangkat menjadi Presiden wanita pertama UNITAS Malacology (UM), sebuah pertubuhan terkemuka dunia yang yang berpusat di Eropah dan ditubuhkan sejak 1962.

UM telah meraih perhatian global khususnya dalam kajian-kajian haiwan lembut bercengkerang  di samping meningkatkan kesedaran umum berkenaan isu-isu pemeliharaan, pemuliharaan dan biodiversiti spesis itu di seluruh dunia.

Penganjuran kongres yang disertai lebih 300 peserta dari lebih 40 negara itu membolehkan saintis tempatan meraih peluang menjalin rangkaian penyelidikan berimpak tinggi bersama-sama barisan penyelidik dunia dalam bidang malacology.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1231

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024