USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGERUSI LGU SERU WARGA USM KUKUH SILATURAHIM SEMPENA AIDIL FITRI

13533116 1105640559496976 1204491964542515108 n

PULAU PINANG, 4 Julai 2016 – Pengerusi Lembaga Gabenor (LGU) Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada seluruh warga USM, alumni dan semua rakan-rakan di mana sahaja berada sempena Sambutan Hari Raya Aidil Fitri kali ini.

“Saya dan isteri ingin mengucapkan Salam Aidil Fitri kepada semua ahli LGU, warga USM dan rakan-rakan serta berharap agar dapat menyambutnya dengan penuh kemeriahan dan kesederhanaan di samping saling bermaaf-maafan,” kata Zulkefli.

Beliau mengharapkan agar sambutan menjadi masa untuk semua pihak mengukuhkan tali silaturahim dan kekuatan untuk saling membantu dan bekerjasama memacu kecemerlangan USM pada masa hadapan.

“Semangat Ramadan yang baharu kita lalui seharusnya membolehkan kita memahami erti pengorbanan dan pentingnya bersatu hati dalam membawa institusi, negara dan bangsa mencapai kejayaan,” kata beliau lagi.

13557756 1106610406066658 6413294369831820881 n

Sementara itu Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman mengingatkan seluruh warga USM supaya meneruskan khidmat bakti kepada institusi dan negara serta menggunakan pendekatan lebih banyak memberi daripada menerima demi kejayaan masa hadapan.

Naib Canselor menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh warga USM, para alumninya di mana sahaja berada, pelajar dan mereka yang sedang melanjutkan pengajian di seluruh pelosok dunia serta rakan industri, khidmat komuniti mahu pun sahabat-sahabat lainnya dalam ikatan kekeluargaan yang erat dan bersatu padu.

“Saya berbangga kerana warga USM sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat bakti  terutamanya dalam kalangan doktor, pegawai perubatan, jururawat, pegawai keselamatan serta semua yang sentiasa berkorban walaupun ketika orang lain menyambut perayaan seperti di Hospital USM dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM serta mereka di Jabatan Pembangunan yang sentiasa bersedia tatkala sambutan hari raya,” kata Omar.

Menurutnya, kita selama ini terhutang budi kepada pasukan uniform seperti polis dan tentera mahu pun anggota keselamatan lain di samping para doktor dan jururawat seluruh negara yang bertugas semasa musim perayaan.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 697

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024