USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MADRASAH RAMADAN INSTITUSI PENDIDIKAN TERBAIK

Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Omar Osman
Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

Allahuakbar Allahuakbar
Allahuakbar Walillahilham

Ramadan adalah seumpama sebuah madrasah, sebuah institusi pendidikan terbaik dari Allah SWT. Hari ini kita mendapat ijazahnya yang bergantung kepada bagaimana kita melaluinya.

Ijazah kelas pertama tentunya dianugerahkan kepada mereka yang melaluinya dengan penuh tawadhuk dan mendapat keampunan Allah SWT. Yang terbaik tentunya yang berjaya menguasai ilmu dan disiplin diri yang hebat yang dapat diteruskan dalam 11 bulan yang akan datang.

Yang terbaik juga adalah yang dapat menjadi suri teladan atau role model sebagai seorang insan yang bertaqwa yang menjaga adab dengan Tuhannya, adab dalam hubungan sesama manusia serta adab dalam hubungan dengan alam dan makhluk Allah lainnya.

Dalam hubungan Allah SWT, Ramadan mendidik kita tentang ketaqwaan dan hanya Allah SWT sebagai kemuncak perhambaan dan mengharapkan perlindungan mahu pun pengakhiran yang terbaik dengan balasan pahala dan syurga.

Dalam hubungan dengan manusia, Ramadan mendidik jiwa untuk berkasih sayang tanpa perbezaan, menjadi khalifah yang terbaik dengan kecemerlangan dan kejayaan sebagai insan kamil terbaik yang bersaudara, menghormati kepelbagaian dan saling membantu serta menjaga adab pergaulan silaturrahim hanya kerana Allah SWT. 

Al-Quran diturunkan sebagai sumber ilmu dan rujukan yang melambangkan kehebatan ilmu pengetahuan bermula dengan ilmu wahyu dari kalam Allah SWT.  Malah nabi dan Rasul serta sunnah sebagai petunjuk untuk melaksanakan kepimpinan cemerlang berteraskan petunjuk Tuhan.

Dalam hubungan dengan alam, Ramadan mendidik kita untuk memanfaatkan sumber yang terhad, tidak membazir dan menghargai apa yang ada, bersyukur dan menggunakannya untuk maslahah masyarakat tanpa melupakan generasi akan datang.

Ramadan mendidik kita tentang muhasabah, ibadah siang dan malam serta membentuk  kehidupan, tentang membina kekuatan, sains kesihatan diri dan masyarakat serta pelbagai lagi dengan cukup sempurna.

Ijazah yang diterima dari proses tarbiyyah madrasah sebulan ini adalah untuk kelestarian dan kesejahteraan masa hadapan.

Raikan ketibaan Syawal ini dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Segala sikap dan didikan yang dilalui itu akan bermakna jika kita terus mengamalkan ilmu dan tarbiyyah yang diterima. Menjaganya sebaik mungkin termasuk ketika beradab ketika dalam perjalanan untuk merayakan kemenangan dan kejayaan ini.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua dan tahniah atas kecemerlangan melalui madrasah Ramadan. Teruskanlah segala didikan ini untuk kegemilangan institusi dan kita semua dunia dan akhirat. Maaf Zahir Batin.

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar Walillahilham

  • Created on .
  • Hits: 1083

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024