USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM IPT PERTAMA DI ASEAN MILIKI FASILITI KAJIAN PRAKLINIKAL DAN KLINIKAL BERTARAF DUNIA

IMG 0264

PULAU PINANG, 4 Julai 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi institusi pengajian tinggi pertama di Asean yang memiliki fasiliti atau makmal yang meliputi kedua-dua kajian praklinikal dan klinikal dengan jaminan kualiti bertaraf dunia.

Kemudahan makmal kajian praklinikal berkenaan yang dikenali sebagai Preclinical Translational Unit (PTU) berjaya mendapat akreditasi antarabangsa iaitu Organisation of Economic Cooperation and Development – Principles of Good Laboratory Practice (OECD-GLP) menerusi Malaysia National GLP Compliance Programme.

PTU juga menjadi satu-satunya fasiliti di negara ini yang ditauliahkan sebagai fasiliti kajian praklinikal bertaraf GLP untuk menjalankan ujian toksikologi ke atas racun makhluk perosak.

Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Dr. Norehan Mokhtar berkata, kejayaan signifikan itu memberi pelbagai manfaat buat penyelidik tempatan dan juga pihak industri di negara ini.

IMG 0273

Sebagai contoh katanya, sebelum ini syarikat-syarikat tempatan perlu menghantar sampel produk untuk diuji ke United Kingdom, India, Perancis dan sebagainya namun ia kini boleh dilakukan di PTU USM.

“Kejayaan mendapatkan akreditasi GLP yang diiktiraf dengan status pematuhan penuh oleh organisasi antarabangsa OECD yang beribu pejabat di Paris, Perancis memberi jaminan penerimaan laporan ujian di serata dunia sekaligus membolehkan pemasaran global inovasi penyelidik negara dan produk keluaran syarikat tempatan,” katanya.

Selain itu katanya, bagi produk yang memerlukan ujian klinikal atas manusia, IPPT turut memiliki Clinical Trial Unit (CTU) untuk kajian klinikal yang ditauliahkan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai satu daripada fasiliti di bawah Clinical Research Malaysia (CRM) yang  disahkan mematuhi piawaian antarabangsa Good Clinical Practice oleh International Conference for Harmonisation (ICH-GCP).

IMG 0291

Tambah beliau, operasi CTU disokong oleh makmal diagnostik IPPT iaitu Advanced Diagnostic Laboratory (ADL) yang diiktiraf oleh International Laboratory Accreditation Conference (ILAC) untuk pengujian perubatan spesimen klinikal yang ditauliahkan dengan akreditasi ISO 15189 oleh Jabatan Standards Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia.

“Kejayaan menubuhkan ketiga-tiga fasiliti PTU, CTU dan ADL untuk ujian praklinikal dan klinikal tersebut adalah selari dengan satu daripada agenda utama penubuhan IPPT USM iaitu mentransformasikan perubatan integratif dan komplementari tempatan untuk berintegrasi dengan perubatan moden,” katanya.

Para saintis dan akademia Malaysia dialu-alukan untuk menggunakan fasiliti kajian praklinikal haiwan di PTU yang dijangka dapat memperkasa penyelidikan dan penerbitan akademia tempatan, selain turut memenuhi keperluan industri tempatan dan luar negara yang memerlukan laporan kajian praklinikal bertaraf GLP untuk permohonan pendaftaran produk dengan pihak berkuasa tempatan dan luar negara.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 3050

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024