USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAMADHAN DISYUKURI, SILATURAHIM DIRAI

IMG 0323gfyh

BERTAM, 29 Jun 2016 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengadakan majlis iftar di kampusnya serta meraikan golongan fakir miskin dan anak-anak yatim setempat dengan pemberian sumbangan kepada mereka.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dato' Dr. Muhamad Jantan, barisan Jawatankuasa Ihya Ramadhan IPPT perlu diberi ucapan setinggi-tinggi tahniah kerana telah mengambil inisiatif mencari sumbangan bagi menjayakan semua aktiviti ihya ramadhan terutamanya bagi pengumpulan dana sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan yang akan disampaikan pada majlis hari ini.

"Terima kasih kepada yang telah menyumbang dan semoga Allah merahmati semuanya kerana sumbangan ini menzahirkan rasa keprihatinan kita sebagai warga universiti terhadap kesusahan, cabaran dan penderitaan ahli masyarakat dalam menjalani liku-liku kehidupan," katanya yang membaca teks Naib Canselor USM Prof. Dato' Dr. Omar Osman.

Tambah Muhamad, semoga dengan sumbangan ini, ianya dapat meringankan beban dan menceriakan suasana bagi meneruskan ibadah puasa dan seterusnya menyambut hari raya yang bakal menjelang.

Muhamad juga berharap sumbangan dari pihak USM kepada masyarakat tidak akan terhenti di sini sahaja dan beliau menyeru warga IPPT supaya teruskanlah berbakti dengan memberikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang terbaik kepada semua ahli masyarakat kerana dengan cara ini masyarakat setempat akan lebih mengenali kita dan yang paling penting masyarakat terkesan dengan kehadiran IPPT di Bertam ini.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Prof. Dato' Dr. Adnan Hussein, Pendaftar USM Prof. Dato' Dr. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah Pusat Islam USM Prof. Dato' Dr. Muhammad Idiris Saleh.

Sementara itu, Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar pula berterima kasih kepada semua hadirin yang dapat meluangkan masa bersama warga IPPT untuk iftar ini.

"Kali ini adalah kali ke-9 IPPT menganjurkan majlis sebegini sejak 2008 yang khusus meraikan ramadhan serta mengeratkan silaturahim antara staf dan pelajar," katanya.

Tambahnya, Majlis ini direncanakan dalam program ihya ramadhan tahun ini dan selain itu program lain yang dianjurkan adalah agihan juadah yang dimasak staf setiap hari, pengisian rohani tazkirah mingguan dan kunjungan terhadap golongan memerlukan.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 953

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024