USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIK USM TEMUI MAKLUMAT ASAS PALING LENGKAP UNTUK PENGHASILAN GETAH

IMG 0163

PULAU PINANG, 28 Jun 2016 - Para penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) yang berkolaborasi dengan rakan-rakan mereka dari RIKEN Centre for Sustainable Resource Science (CSRS) Jepun telah berjaya menjadi yang pertama di dunia menemui maklumat asas paling lengkap iaitu kira-kira 93% dalam jujukan genom untuk pokok getah (Hevea brasiliensis) yang mampu menyumbang kepada kemajuan getah negara dan dunia pada masa hadapan.

Para penyelidik USM yang terdiri daripada pakar Molekular Biologi Profesor Dr. Alexander Chong Shu-Chien, pakar tumbuhan Profesor Dr. Ahmad Sofiman Othman bersama-sama Penyelidik Pasca Doktoral Dr. Lau Nyok-Sean bersama-sama pasukan penyelidik Profesor Dr. Matsui Minami yang mengetuai Synthetic Genomics Research Group di RIKEN CSRS.

Pada tahun 2013, USM telah julung-julung kalinya menemui jujukan draf genom getah namun masih banyak gen yang perlu diterokai ketika itu untuk melengkapkan maklumat tentang pengeluaran getah yang kemudiannya disusuli dengan kerjasama bersama-sama RIKEN Jepun untuk melakukan kajian lebih mendalam tentang pelbagai perkara yang dapat menyumbang kepada penghasilan getah, rintangan penyakit dan lain-lain hasil daripada penemuan terbaharu ini.

"Kejayaan penting ialah apabila kita berupaya melakukan jujukan genom berkualiti tinggi yang mempunyai liputan jauh lebih lengkap berbanding dengan draf pada tahun 2013 yang cuma 70 – 80% lengkap. 

"Ini membolehkan kami menerokai dan seterusnya menemui lebih banyak lagi gen yang penting,” kata Alexander Chong Shu-Chien dalam Sidang Media yang diadakan di sini.

Misalnya, kini hampir 2,000 keluarga gen yang bertanggungjawab dalam pengeluaran susu getah kini telah dibongkar sebagai rahsia keupayaan pokok getah menghasilkan susu getah.

Selain dari itu, penyelidikan ini juga telah menemui gen-gen yang dipercayai membantu menambahkan kerintangan pokok getah terhadap serangan penyakit.  

Penemuan asas sebegini merupakan  langkah asas yang perlu untuk merintis ke arah kajian berbentuk aplikasi seperti penghasikan baka baru yang akan  menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan ekonomi yang melibatkan getah. 

Penemuan ini telah pun dilaporkan dalam Jurnal Scientific Report, terbitan kumpulan Nature baru-baru ini.

Teks: Mohamad bin Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1013

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024