USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMBELAJARAN YANG KONSISTEN KUNCI KEJAYAAN SHA’ADA

untitledhjg copy

KUBANG KERIAN, 26 Jun 2016 - Setiap pelajar ingin menjadi pelajar yang cemerlang dan sentiasa menanam cita-cita untuk menjadi yang terbaik. Persiapan awal seseorang pelajar dapat dilakukan hanya melalui cara pembelajaran yang konsisten.

Siti Sha’ada Zakaria merupakan antara salah seorang daripada 176 pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Sijil Dekan dan Anugerah Kepimpinan Pelajar 2016 di Majlis White Coat Graduation & Awards Ceremony yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini semalam.

Menurut pelajar Sains Perubatan ini, setiap pelajar hendaklah mempunyai matlamat utama untuk menjadi asas bagi mencapai kejayaan serta perlu mempunyai matlamat tersendiri dalam merencanakan kejayaan yang diingini.

untitledjgk

“Minat yang mendalam terhadap bidang yang dipilih membuatkan saya berusaha keras sehingga berjaya muncul sebagai pelajar terbaik kerana bagi saya apa juga yang kita lakukan, minat itu penting dan disebabkan saya minat dengan subjek yang saya pilih maka saya belajar bersungguh-sungguh sehingga impian untuk mengecapi kejayaan tercapai,” katanya.

Sha’ada berkata, kejayaan yang diperoleh hari ini adalah anugerah dari Allah SWT selain dorongan kedua ibu bapa, adik beradik, pensyarah dan sahabat-sahabat yang menjadi sumber inspirasi terbesar hidupnya.

“Saya yakin Allah sentiasa mendengar doa hambanya ini dan saya bersyukur kerana jalan yang saya pilih dengan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola adalah jalan yang tepat.

“Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada ibubapa, pensyarah dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepada saya selama lima tahun berada di USM sehingga menjadikan saya seorang mahasiswa yang pentingkan nilai-nilai kehidupan selaras dengan status USM sebagai Universiti APEX,” jelas gadis yang berasal dari Kota Kinabalu ini.

untitledery

Sha’ada turut berharap agar kejayaannya ini menjadi permulaan kepada banyak lagi kejayaan pada masa akan datang dengan berbekalkan sedikit kelebihan yang diberikan untuk menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan.

Teks/Foto: Anawiah Abdul Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1104

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024