WAKIL KONSULAT ARAB SAUDI PUJI USAHA USM
USM, PULAU PINANG, 22 Jun 2016 - Berpeluang mendekati golongan gelandangan ini membuatkan Wakil Konsulat dari Kedutaan Arab Saudi, Sheikh Salim Batharfi amat mengkagumi keprihatinan dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh warga Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya dalam kalangan pemimpin tertingginya.
Sheikh Salim yang berada di USM sepanjang bulan Ramadhan ini yang diundang sebagai tetamu dan pendakwah di Pusat Islam USM dalam mengimarahkan Masjid Al-Malik Khalid turut berasa teruja apabila dapat mengikut sama program singgah sahur.
"Inilah pemimpin yang boleh kita contohi. Saya melihat Naib Canselor sendiri turun padang bersama-sama pelajar dan staf yang lain menunjukkan keikhlasan beliau menjalankan tugas bukan hanya sekadar sebagai pentadbir universiti malah turut sama-sama turun padang untuk merasai kesusahan kehidupan gelandangan ini," kata Sheikh Salim.
Tambahnya, kesempatan berada bersama-sama dalam program ini merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan memandangkan situasi seperti ini tidak dapat dirasai di negaranya.
"Saya dapat lihat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua warga USM tanpa mengira pangkat atau darjat dalam sama-sama membantu menyalurkan makanan, ini menunjukkan pemimpin-pemimpin USM ini sentiasa bersatu hati melakukan kebajikan," katanya ketika ditemui semasa Program Singgah Sahur bersama Gelandangan 2016 USM di sini, awal pagi tadi.
Program yang telah masuk tahun kelima penganjurannya ini melibatkan seramai 50 orang Briged Sukarelawan Pelajar USM, bersama-sama staf serta pengurusan tertinggi USM mengedarkan 250 bungkus makanan kepada gelandangan di Padang Kota, KOMTAR dan kawasan sekitar Georgetown.
Yang turut hadir sama dalam program ini ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor USM serta pegawai-pegawai tertinggi universiti.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 893