USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ZIARAH RAMADHAN, PROGRAM PRIHATIN WARGA IPPT

Ziarah Ramadhan 1

KEPALA BATAS, 20 Jun 2016 - Program Ziarah Ramadhan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan pagi tadi telah berjaya dilaksanakan dengan penyerahan wang sumbangan warga kerja IPPT dan barangan keperluan asas kepada 4 buah keluarga yang terdiri daripada staf IPPT dan waris yang ditimpa musibah.

Program yang turut disertai oleh pengurusan tertinggi IPPT ini telah diadakan untuk tahun kedua dan ini adalah sebagai salah satu pengisian aktiviti Ihya Ramadhan IPPT 1437H.

Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar menyifatkan program ziarah ini adalah salah satu aktiviti yang sangat baik dan memberi banyak manfaat kepada mereka yang memerlukan selain menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan.

“IPPT akan membantu sebaik mungkin jika mendapat tahu ada antara staf atau waris staf yang ditimpa musibah. Ini adalah salah satu tanda keprihatinan IPPT terhadap kebajikan staf tidak kira pangkat atau kedudukan,” katanya.

"Saya amat berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan tidak semestinya tertumpu pada bulan Ramadhan sahaja. Mungkin program ini dapat diperluas dengan meningkatkan bilangan penerima supaya lebih ramai golongan kurang bernasib baik dapat dibantu," ujarnya lagi.

Ziarah Ramadhan 6

Sumbangan yang diberikan kepada mereka adalah hasil daripada keprihatinan warga IPPT yang menyumbang menerusi Tabung Ihya Ramadhan IPPT setiap tahun selain sokongan daripada Pusat Islam USM.

Salah seorang penerima yang juga merupakan staf IPPT, Nooraini Zakaria menyatakan rasa terharu apabila beliau yang tidak menyangka dikunjungi pihak Pengurusan Tertinggi IPPT.

“Saya amat bersyukur dengan kunjungan dan perhatian yang diberikan oleh pihak IPPT,” katanya yang kini sedang menjalani rawatan kemoterapi penyakit kanser.

Dr. Norehan turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini dan terima kasih kepada mereka yang memberikan sumbangan tidak kira dalam apa jua bentuk sama ada tenaga atau wang ringgit bagi membantu golongan yang memerlukan.

Turut bersama-sama dalam aktiviti ziarah ini ialah Timbalan Pengarah Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin; Timbalan Pengarah Klinikal, Dr. Muhamad Yusri Musa dan Ketua-ketua Seksyen.

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 800

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024