USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM SINGGAH SAHUR MPPUSM SANTUNI WARGA HOSPITAL

untitled8yt78

KUBANG KERIAN, 19 Jun 2016 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan membuat kejutan Singgah Sahur di Hospital USM pagi ini.

Program ini dilaksanakan bagi menyantuni warga hospital yang terdiri dari para doktor, warga perubatan, jururawat, pegawai keselamatan serta waris pesakit yang menunggu di wad.

Program kali ini disertai oleh 20 orang pelajar dan diketuai oleh Pengerusi MPP USM Kampus Kesihatan Ahmad Syahmi Rasyad, dimulai dengan berkumpul di perkarangan hospital seawal jam 3.00 pagi untuk memulakan kerja pengagihan juadah sahur.

Menurut Ahmad Syahmi, sudah menjadi tradisi MPPUSM Kampus Kesihatan setiap kali Ramadan mengadakan program singgah sahur ini untuk mendekati masyarakat dan warga staf yang bekerja pada syif malam.

"Waktu kita masih lagi tidur nyenyak dan lena dibuai mimpi, wira-wira inilah yang bertugas dan memastikan kesemuanya berjalan lancar menjaga kesihatan masyarakat dan sumbangan sekecil ini diharap dapat membuatkan mereka berasa dihargai dan sentiasa diingati kerana merekalah sebenarnya wira yang menjaga kita tanpa mengira masa," kata Ahmad Syahmi.

untitledbhu

Jelasnya, kebanyakan warga staf yang bekerja syif malam pada bulan Ramadan akan bersahur secara ala kadar kerana mereka perlu menjaga pesakit sepanjang masa bertugas.

Bagi salah seorang peneman pesakit Ruslaini Abd Wahab, kehadiran dan kunjungan daripada pelajar USM singgah sahur pada awal pagi ini membuatkannya terharu.

"Memang seronok tengok ada yang masih mengambil berat, prihatin dan sedar tentang kami yang tidak pulang ke rumah dan bersahur bersama keluarga," katanya.

untitledygf

Program tersebut berakhir jam 5.10 pagi sebelum mereka ke Masjid USM Kampus Kesihatan untuk menunaikan solat subuh berjemaah.

Teks/Foto: Mohamad Iqmal Mathlan

  • Created on .
  • Hits: 814

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024