USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERLUAS KOLABORASI BERSAMA INDUSTRI

IMG 0102fgh

USM, PULAU PINANG, 16 Jun 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperluaskan jaringan kerjasama dengan rakan industri bagi memperkasakan manfaat teknologi hijau dalam memacu pembangunan industri negara.

Kerjasama tersebut dijalinkan antara USM melalui Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) dengan Macro Dimension Concrete Sdn Bhd (MDC), sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembuatan konkrit.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM sentiasa komited menyokong industri tempatan dalam memenuhi agar industri yang berasaskan teknologi hijau menyumbang kepada peningkatan yang tinggi dalam Pendapatan Negara Kasar menjelang tahun 2020.

IMG 0113yy

IMG 0119yuj

“Keunikan kolaborasi pada kali ini bukan sahaja untuk mengkomersilkan produk tetapi turut melebarkan dalam bentuk pemindahan ilmu,” kata Omar.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara USM bersama MDC di sini, hari ini.

Yang hadir sama  ialah Penolong Naib Canselor, Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Wan Mahmood dan Dekan PPPBP Profesor Dr. Aldrin Abdullah.

Kata Omar lagi, dalam melestarikan sesebuah industri seperti ini, sokongan daripada universiti amatlah penting dari bentuk penyelidikan dan pemindahan ilmu.

“Pihak MDC juga boleh melatih pekerjanya dalam menjalankan penyelidikan bersama-sama pihak USM demi meningkatkan lagi produktiviti,” tambahnya lagi.

IMG 0136jk

Ketua Pegawai Operasi MDC Sdn Bhd, Leow Khang Heng pula berkata, pihaknya teruja berkolaborasi dengan USM dalam memperkasa manfaat teknologi bagi memberi impak kepada bidang kepakaran yang ditawarkan syarikatnya.

Kerjasama ini meliputi pengkomersilan melibatkan perlesenan teknologi berpaten yang dikenali sebagai ‘Kaedah menghasilkan blok bangunan konkrit yang rendah jejak karbon’ yang telah dibangunkan oleh penyelidik USM, Dr. Cheah Chee Ban dari PPPBP.

“Selain daripada itu, pihak MDC akan turut menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang dari PPPBP di semua peringkat pengajian sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat MDC,” tambahnya lagi.

Jelasnya lagi, usahasama yang dijalinkan antara USM dan MDC ini akan dapat membangunkan sektor industri tempatan ke tahap bertaraf antarabangsa.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1025

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024