USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM SINGGAH SAHUR MEMBANTU DAN MENYANTUNI GELANDANGAN

13427739 10209307742514399 8431237168195002860 n

USM, PULAU PINANG, 16 Jun 2016 – Program Singgah Sahur bersama Gelandangan 2016 Universiti Sains Malaysia (USM) kini kembali dengan membuka peluang kepada sukarelawan pelajar dan staf bersama-sama menzahirkan semangat kesukarelawanan membantu golongan gelandangan yang memerlukan perhatian masyarakat.

Dengan bertemakan ‘Mari Bersama kita Membantu dan Menyantuni Orang Lain’ program kali ini akan memberi pendedahan dan bimbingan kepada seluruh warga USM dalam kalangan staf mahu pun  pelajar kepada kehidupan sebenar para gelandangan yang memerlukan bantuan dan perhatian masyarakat.

Menurut penyelaras program, Zulkifli Che Hussin, program yang telah masuk tahun keempat penganjurannya  ini akan melibatkan seramai 200 orang Briged Sukarelawan USM  mengedarkan 400 bungkus makanan untuk gelandangan di Padang Kota, KOMTAR dan kawasan sekitar Pulau Pinang.

“Pada tahun ini program singgah sahur ini turut mendapat kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang, Yayasan USM dan USM Bikers yang sama-sama akan turun padang mengagihkan juadah sahur kepada gelandangan,” tambahnya.

Jelas Zulkifli lagi, seperti tahun-tahun yang lepas, pengurusan tertinggi USM akan turut serta  bersama warga USM menjayakan misi dan visi USM membantu golongan terkebawah selain meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar USM.

“Program ini akan berakhir dengan bersahur beramai-ramai di Pusat Islam USM bersama-sama Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman,” kata Zulkifli.

Program Singgah Sahur bersama Gelandangan 2016 dianjurkan bersama oleh Pejabat Naib Canselor USM, Sekretariat Kampus Sejahtera dan Briged Sukarelawan USM dengan sokongan Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang, Yayasan USM dan USM Bikers.  

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1101

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024