USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEMPENA HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA: PENDERMA DARAH WIRA TAK DIDENDANG

 

KUBANG KERIAN, 14 Jun 2016 – Setiap 14 Jun telah diisytiharkan sebagai ‘World Blood Donors Day’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk menggalakkan masyarakat menderma darah untuk menyelamatkan orang lain. Tahun ini temanya ialah ‘Darah Menghubungkan Kita Semua’ atau "Blood Connects Us All" untuk menekankan perkongsian darah di antara manusia dan pesakit.

Menurut Ketua Jabatan Hematologi/Perubatan Transfusi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Wan Zaidah Abdullah, hari penderma darah sedunia disambut bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah.

"Kempen menggalakkan rakyat yang layak menderma darah ini perlu digandakan apatah lagi Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital di seluruh negara sering berdepan dengan stok darah yang kritikal untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan pemindahan darah. 

"Oleh itu, masyarakat perlu disedarkan bahawa menderma darah adalah satu amalan sukarela yang dipuji dan tidak ternilai sumbangannya," katanya lagi.

Menurut Dr. Wan Haslindawani Wan Mahmood, Pensyarah Hematologi USM Kampus Kesihatan, darah adalah cecair berwarna merah yang mengalir di dalam tubuh manusia dan binatang.  

Ia mempunyai kuasa menggerakkan aktiviti badan seperti petrol yang menghidupkan mesin. Setakat ini, belum ada unsur lain yang dapat menggantikan fungsi darah.  Dipercayai tidak akan ada ciptaan manusia yang dapat menggantikannya. 

Bahkan katanya lagi, darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya. Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB. 

Kumpulan darah O boleh menerima darah daripada kumpulan darah O sahaja. Bagaimanapun, darah itu boleh didermakan kepada semua penerima.  Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah. "Begitulah uniknya darah,” ujarnya.

Dr. Wan Haslindawati menjelaskan, di dalam badan manusia mengandungi sembilan hingga 10 pain darah. Individu yang mengalami kekurangan darah melebihi tiga pain akan menghadapi masalah perjalanan fungsi organ badan yang boleh membawa maut. Satu-satunya cara menyelamatkan mangsa ialah melalui proses pemindahan darah. 

"Justeru itu, amatlah penting bagi setiap anggota masyarakat memahami kepentingan untuk menderma darah kerana setiap darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Untuk rekod, jumlah penderma darah di Hospital USM pada tahun 2015 ialah seramai 12 979 orang manakala penggunaan darah pula ialah 12 885 pain.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Mohd Hairol Rasli

  • Created on .
  • Hits: 854

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024