USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEMPENA HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA: ORANG RAMAI DISERU ISI TABUNG DARAH IPPT

13435586 1095602487167450 1444853759989879247 n

USM, PULAU PINANG, 14 Jun 2016 – Tabung Darah, Unit Perubatan Transfusi, Makmal Diagnostik Termaju, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), mengalami kekurangan bekalan darah bagi menampung kegunaan para pesakit terutamanya di bulan Ramadhan ini.

Menurut  Ketua Unit Perubatan Transfusi, Makmal Diagnostik Termaju IPPT, Dr. Sharifah Azdiana Tuan Din, situasi ini berlaku apabila penderma darah berkurangan menjelang bulan Ramadhan dan awal bulan Syawal.

“Pada bulan-bulan lain, bekalan darah masih lagi berada di tahap yang memuaskan, terapi untuk bulan Ramadhan ini, Tabung Darah di IPPT mengalami kekurangan darah terutamanya bagi kumpulan darah ‘O’,” tambahnya.

Jelasnya lagi, bekalan darah yang ada di tabung darah IPPT digunakan untuk menampung keperluan darah bagi pesakit kanser yang menjalani rawatan kimoterapi di sini selain kegunaan pesakit yang mengalami pendarahan semasa pembedahan.

“Oleh yang demikian, Unit Perubatan Transfusi IPPT telah membuat hebahan mengenai kempen menderma darah selepas  berbuka puasa dan solat tarawih yang akan diadakan di IPPT USM pada 15 Jun 2016 dan terbuka kepada seluruh warga USM dan masyarakat setempat bagi memenuhi bekalan tabung darah di IPPT yang semakin berkurangan,” katanya lagi.

Bersempena 14 Jun yang merupakan Hari Penderma Darah Sedunia, Dr. Sharifah Azdiana berharap akan lebih ramai lagi penderma darah tampil untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan terutamanya di bulan Ramadhan ini bagi menampung bekalan darah untuk pesakit sehingga bulan Syawal akan datang.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid berkata, pihaknya menjadikan aktiviti derma darah sebagai KPInya iaitu mengadakan kempen derma darah sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

“Alhamdulillah setakat ini telah lebih tiga kali aktiviti kempen derma darah diadakan di kampus induk dengan kerjasama jabatan-jabatan lain dalam USM dan jumlah penderma amatlah memuaskan,” Jelas Dr. Normala.

Selain daripada itu, Pusat Sejahtera juga turut berkolaborasi dengan Unit Transfusi Hospital Kerajaan dan IPPT untuk menjalankan aktiviti kempen derma darah dalam meningkatkan bekalan darah untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.

“Saya berharap sempena Hari Penderma Darah Sedunia, lebih ramai di dalam kalangan masyarakat Malaysia dan warga USM akan meneruskan usaha murni menderma darah ini,” katanya ketika dihubungi.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 917

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024