USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DIDIK WARGA DENGAN JIWA KEMANUSIAAN

IMG 0199lkl

USM, PULAU PINANG, 14 Jun 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa berusaha mendidik warganya untuk mempunyai jiwa kemanusiaan yang kental di sebalik berusaha membangunkan ilmu Sains dan Teknologi.

Berucap dalam majlis Iftar Perdana bersama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, T.Y.T Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas di Perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM malam tadi, Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata Ramadhan sebagai bulan penuh rahmat, bulan kesyukuran dan bulan mendidik jiwa seharusnya berupaya mengukuhkan kasih sayang yang dimaknakan dengan usaha dan keprihatinan warga USM terhadap nasib yang menimpa mereka yang menghadapi pelbagai dugaan. 

"Misalnya pada  1 Mac lalu, secara mengejut 4 orang anak yang berusia 8 hingga 15 tahun kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka setelah kedua-duanya terlibat dalam kemalangan jalan raya. 

"Warga USM bersatu hati memberikan sumbangan yang mencecah RM26,000 yang kita masukkan dalam Tabung Pendidikan Khas Yayasan USM yang akan ditadbirkan oleh satu jawatankuasa khas untuk masa depan mereka," kata Omar.

IMG 0263jkl

Tambahnya lagi, warga USM juga amat prihatin dengan penderitaan rakyat Palestin dan telah menubuhkan Tabung Khas Palestin hasil sumbangan orang ramai terutamanya warga USM sejak kira-kira dua tahun lalu.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk seimbangkan antara pembangunan ilmu yang menekankan kepada Sains dan Teknologi dengan pembangunan jiwa, keinsanan dan kemanusiaan. 

"Pembangunan jiwa berteraskan kash sayang, ihsan dan memahami penderitaan dan kesusahan orang lain sebagai sebahagian daripada kelestarian yang menjadi pegangan USM untuk kelangsungan masa hadapan," kata Naib Canselor.

IMG 0316jkl

Pada majlis yang sama, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur menyampaikan sumbangan kepada 11 daripada 32 orang pelajar Palestin yang sedang mengikuti pengajian di USM.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pula menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Palestin Mohammed Elhalabi, 32, menzahirkan kesyukuran kerana USM prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin serta gembira dapat berbuka puasa bersama-sama Naib Canselor dan pegawai utama USM apatah lagi kelainan USM yang menyediakan secara percuma juadah berbuka puasa.

“Saya sangat hargai peluang belajar di sini, dapat merasai budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan ini merupakan tahun kesembilan di Malaysia yang setiap kali tibanya Ramadhan, walaupun merindui kampung halaman namun bertuah kerana mempunyai rakan-rakan baik dari sini mahu pun negara lain yang banyak membantu,” katanya yang kini menetap di Pulau Pinang bersama isteri yang juga merupakan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Sains Komputer.

Bagi Ainatul Balqis Hanizar, 15, sumbangan yang diberikan oleh USM ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka adik-beradik dalam menghadapi masa hadapan terutamanya  dalam menjaga kebajikan pendidikan mereka berempat.

“Di bulan Ramadhan ini kenangan bersama-sama ibu bapa berbuka bersama-sama akan diingati sepanjang hidup saya,” katanya.

Kira-kira 4,000 orang menghadiri Iftar Perdana tersebut yang dianjurkan USM melalui Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni dan Pusat Islam. 

Yang hadir sama ialah Pro Canselor Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Tan Sri Mohd Yussof Latiff, ahli Lembaga Gabenor USM Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly, Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang Kiyoshi Itoi, Konsul Jeneral Kehormat Pakistan Dato’ Haji Abdul Rafique bin Abdul Karim, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dato’ Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd. Noor serta Timbalan-timbalan Naib Canselor dan ketua-ketua jabatan USM.

Teks: Mohamad Abdullah & Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 875

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024