USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAWATAN KANAL AKAR: SATU PENYELESAIAN UNTUK GIGI SAKIT

untitledgjjkbn

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Jun 2016 - Sakit gigi yang sangat kuat, berdenyut, bengkak serta mungkin bernanah merupakan gejala yang disebabkan oleh jangkitan kuman atau keradangan pada tisu pulpa dalam salur akar gigi dan ianya tidak dapat dirawat hanya dengan rawatan tampalan atau ubat-ubatan hingga akhirnya menyebabkan gigi tersebut dicabut.
 
Menurut Pakar Pergigian Restoratif (Endodontic), Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia, Dr. Nik Rozainah Nik Abdul Ghani, gejala sakit gigi yang kuat boleh dirawat tanpa mencabut gigi tersebut tetapi melalui rawatan kanal akar.

"Rawatan kanal akar juga dikenali dengan rawatan salur akar atau 'rawatan endodontic' merupakan rawatan bagi gigi yang telah mengalami kerosakan teruk akibat jangkitan kuman selain dapat terus mengekalkan fungsi gigi tersebut," katanya.

Tambah Nik Rozainah, individu yang memerlukan rawatan ini adalah mereka yang mempunyai masalah gigi berkaries yang rosak teruk hingga melibatkan tisu pulpa dalam salur akar, gigi yang telah mati kesan daripada kecederaan dan sakit melibatkan terganggu fungsi asas gigi untuk pengunyahan makanan hingga mengganggu tidur serta sakit yang tidak berkurangan walaupun dengan pengambilan ubat.

untitledgjlknj

"Kepentingan rawatan kanal akar adalah untuk memastikan gigi yang sakit dapat diselamatkan, mengelakkan kesakitan gigi bertambah teruk dan memastikan tidak berlaku jangkitan pada gigi atau ke bahagian lain seperti mata, leher dan struktur penting yang lain dalam badan manusia," ujarnya.

Nik Rozainah turut menjelaskan prosedur rawatan iaitu bermula x-ray gigi akan diambil untuk tujuan analisis bagi melihat bilangan dan keadaan akar gigi sebelum ia diasingkan dari gigi bersebelahan dengan mengenakan empangan getah iaitu semua gigi yang lain akan ditutup atau diselimutkan.

“Bahagian korona gigi yang terdiri daripada enamel dan dentin yang berkaries atau rosak akan dibersihkan dengan bahan disinfeksi dan tisu pulpa yang mengalami keradangan akan dibuang dari kanal akar. Selepas itu, ubat akan dimasukkan dalam kanal akar diikuti dengan tampalan pada bahagian korona gigi,” jelasnya.

Pada lawatan pesakit seterusnya, rawatan disinfeksi akan diteruskan dan kanal akan dibersihkan seterusnya jika tiada sebarang tanda gejala keradangan, salur ini akan ditutup serta ditampal menggunakan bahan tampalan akar (Gutta Percha).

Nik Rozainah menasihatkan kepada orang ramai yang mempunyai masalah sakit gigi yang teruk supaya mendapatkan rawatan kanal akar untuk menyelamatkan gigi mereka daripada terus dicabut.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Ya'acob

  • Created on .
  • Hits: 3998

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024