USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAYANG WAU MENANG TEMPAT KE-3 KATEGORI WAU BERCAHAYA

untitledtyr

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Jun 2016 - Wakil Universiti Sains Malaysia (USM), Kumpulan Pelayang Wau, Kampus Kesihatan menang tempat ke-3 dalam Festival Wau Antarabangsa 2016 kali ke-34 bagi kategori Wau Bercahaya yang diadakan di Pantai Genting, Tumpat Kelantan baru-baru ini.

Kumpulan yang terdiri daripada staf Jabatan Pembangunan, Kampus Kesihatan USM iaitu Redzali Drahim, Kamaruzaman Ibrahim dan Nasaruddin Idris berjaya membawa pulang wang tunai RM 500 beserta sijil penyertaan dan hamper.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan, Kampus Kesihatan, merangkap Penasihat Kumpulan, Haji Norazman Haji Mahamood, kejayaan kali ini adalah hasil kajian teliti ahli kumpulan khusus untuk kategori wau bercahaya setelah cubaan pada tahun lepas gagal."Kita berjaya menaikkan wau bercahaya dengan rekabentuk yang menarik dan alatan elekronik untuk kawalan cahaya lampu ini dihasilkan sendiri oleh kami.

untitledghfh

"Selain itu, kita juga ingin menonjolkan bakat yang ada pada mereka terutama dalam bidang seni tradisional ini dengan memberi dorongan dan bantuan supaya mereka terus berjaya," kata beliau.

Tambah Norazman, perancangan rapi dibuat terutama dalam mengira berat bahan elektronik seperti lampu LED, papan litar beserta bateri yang ingin dipasang pada wau yang bersaiz 6x11 kaki dan hasilnya kami berjaya menaikkan wau tersebut yang mampu menampung berat sebanyak 1.5kg.

"Walaupun kos keseluruhan menghasilkan wau mencecah RM2,000, namun ia berbaloi kerana mampu mengharumkan nama USM," jelasnya lagi.

Norazman berharap agar penyertaan pada tahun hadapan akan disertai oleh pelajar USM  bagi mengisi pelbagai kategori lain yang turut dipertandingkan.

untitledghg

Sementara itu, menurut salah seorang ahli Kumpulan Pelayang Wau, Redzali Drahim yang turut berpengalaman selama enam tahun menjadi tenaga pengajar ko-kurikulum Wau Tradisional, beliau sangat berbangga kerana kejayaan ini dapat menaikkan imej USM di persada antarabangsa.

"Kami ingin menonjolkan identiti USM pada corak lampu di badan wau yang mana apabila wau tersebut dinaikkan kita dapat melihat pancaran cahaya 'USM Love Malaysia'," ujarnya.

Program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan disertai oleh pelbagai negara termasuk China, Australia, Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Brunei dan Thailand.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Ya'acob / Normimi Shahira Mohd Daud (Pelajar Internship UUM)

  • Created on .
  • Hits: 806

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024