USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAMADHAN YANG DEKAT DI HATI

idiris

USM, PULAU PINANG, 7 Jun 2016 – Tradisi Iftar yang telah dimulakan oleh Pusat Islam USM sejak penubuhannya dahulu akan diteruskan pada tahun ini dan tahun yang mendatang.

Demikian antara sebahagian intipati Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam USM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Idiris Salleh selepas Solat Zohor di Masjid Al-Malik Khalid USM hari ini.

Muhammad Idiris turut mengucapkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada para sukarelawan dari PTJ seluruh USM yang membantu dalam menjayakan iftar pada bulan Ramadhan kali ini yang dianggarkan hampir 50 orang sukarelawan diperlukan setiap hari untuk penyediaan iftar di Masjid Al Malik Khalid USM.

“Iftar ini juga sedikit sebanyak membantu para pelajar Menara Ilmu ini dalam waktu peperiksaan yang sedang berlangsung kini kerana para pelajar yang berpuasa boleh berbuka di Masjid beramai-ramai dari membeli di luar dan ini memudahkan para pelajar USM,” katanya.

Menurutnya lagi, selain dari itu, beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih terhadap sambutan “One Stop Centre” yang amat baik kerana telah menerima banyak sumbangan bahan-bahan mentah oleh semua yang berinfak pada Ramadhan kali ini.

Sementara itu, Muhammad Idiris juga memberitahu bahawa Pusat Islam akan melaksanakan inisiatif berkonsep “Open Library” di sekitarnya dan Idiris memohon agar bahan-bahan bacaan untuk inisiatif ini boleh didermakan oleh staf yang bersara ataupun pelajar bergraduasi yang tidak mahu menyimpan bahan bacaan masing-masing lagi.

Turut hadir adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman; Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Dekan-Dekan Pusat Pengajian di USM.

IMG 20160607 WA00201

Muhammad Idiris turut mengupas isu semasa yang memerlukan umat Islam memberi penjelasan yang tepat dan sesuai supaya tidak dilihat dari satu perspektif.

"Isu pembentangan Rang Undang-undang Hudud misalnya perlu dilihat dari perspektif yang sewajarnya dengan penjelasan yang jelas bukan hanya apa yang dibentangkan agar tidak membuka ruang melihatnya dari perspektif yang tidak sewajarnya," katanya.

Muhammad Idiris juga menjemput seluruh warga USM dan sekitar untuk menghadiri Iftar Perdana yang akan diadakan pada 13 Jun 2016 bersamaan 8 Ramadhan ini yang akan turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Tazkirah Ramadhan di Masjid Al-Malik Khalid USM akan diadakan selepas waktu solat zohor pada setiap hari Isnin hingga Jumaat manakala tazkirah selepas waktu solat subuh akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 925

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024