USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAMADHAN MEMIMPIN KECEMERLANGAN INSAN

RMKI

oleh

PROFESOR DATO' DR. OMAR OSMAN

Naib Canselor

Universiti Sains Malaysia

Ahlan Ramadhan. Selamat datang Ramadhan. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi kesempatan sekali lagi untuk menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadhan, bukan sahaja ibadah yang zahir tetapi juga yang lebih utama ibadah yang batin, yang mensucikan jiwa kita dari segala kemungkaran terutamanya yang datang dari hati kita.

Hati yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, jika ianya baik, maka seluruh tindakan kita juga akan menjadi baik. Kebaikan itulah yang menjadi tunjang untuk kita sama-sama perkukuhkan dan perkasakannya dalam membangunkan agama, bangsa apatah lagi universiti kita ini. Untuk mencapai kecemerlangan dan membangunkan tamadun ilmu yang hebat dan bermanfaat, bermula dari kecemerlangan diri insan. Kebaikan yang perlu kita lakukan yang datangnya dari hati dan qalbu yang bersih yang akan membawa kepada natijah kebaikan dan kemuliaan yang kita inginkan melalui tindakan dan perbuatan, usaha dan komitmen mesti yang dilakukan tanpa letih, penat dan jemu.

Sesungguhnya Ramadhan berusaha menyucikan hati dan qalbu kita untuk membangunkan kekuatan diri kita secara dalaman yang bertolak dari niat untuk melakukan kebaikan dan memberikan kebaikan. Ramadhan yang mendidik kita untuk melakukan apa jua hanya kerana Allah SWT kerana kita tahu bahawa dengan ketaqwaan yang kuat dan utuh itulah mendorong kita membuat muhasabah dan membetulkan apa yang tidak betul atau belum cukup betul dalam tindakan kita selama ini.

Ramadhan adalah proses pendidikan utama yang memberi ruang untuk kita beruzlah dan melihat dalam diri kita terhadap apa yang telah kita lakukan selama ini.  Beruzlah antara kita dengan Allah SWT tatkala kita bangun malam untuk bertahajud atau pun kita bersendirian dan tatkala hati kita sentiasa mengingati Allah SWT bahawa pada akhirnya kita akan kembali kepadaNya dengan apa yang kita lakukan semasa di dunia ini. Bahawa kita juga akan kembali dengan segala kebaikan yang kita lakukan sebagai bekalan untuk menghadapi hari-hari dalam kehidupan abadi kita. 

Kita melakukan kebaikan dalam hubungan kita dengan manusia untuk membangunkan segala kerjasama, kolaborasi dan membantu kita dalam menjayakan apa jua urusan yang ada. Kebaikan dalam hubungan kita dalam menjaga alam dan kelestariannya apatah kagi segala sumber yang ada untuk tidak dibazir dan disesiakan, tidak merosakkan apa yang ada malah memanfaatkannya untuk faedah manusia seluruhnya. Yang utama ialah kebaikan dalam memastikan hubungan kita dengan Allah SWT juga cemerlang dan sentiasa dalam keredhaannya.

Ramadhan yang berteraskan kepada ketaqwaan dan kesyukuran bukan sahaja dengan mendidik hati dan diri kita tentang erti lapar dan dahaga, erti menghargai nasib mereka yang yang hidup serba kurang dan amat sederhana, mendidik tentang mengawal nafsu dari melakukan hal-hal yang bertentangan dengan syariat malah mendidik jiwa untuk melihat apa yang boleh kita jadikan bekalan ke hari-hari abadi kita. Kita sedar betapa dalam ketaqwaan itu, Allah SWT melihat dan menjadi saksi terhadap apa yang kita lakukan dan apa yang kita fikirkan, apa yang kita niatkan dan apa yang sebenarnya kita benar-benar sumbangkan ke jalan Allah SWT.

Kerana itulah sejarah menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW berjaya membangunkan kekuatan umat Islam, para sahabat dan generasi awal untuk berjaya dalam peperangan malah membentuk daulah Islamiyah yang berkembang luas di seluruh dunia. Baginda mengambil masa yang panjang mentarbiyahkan ummah sebagai generasi cemerlang dan hebat sehingga berupaya membangunkan tamadun-tamadun besar keilmuan termasuk Andalusia, Mendidik dan mewariskan satu kehebatan luar biasa umat terkemudian termasuk kita untuk mencontohi dan meneruskan perjuangan yang dilakukan, hanya kerana Allah SWT dan hanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

IMG 0019NM

Kerana itu, saya fikir amat tepat untuk kita jadikan Ramadhan sebagai titik tolak untuk memimpin kita mencapai kecemerlangan. Pertama, kita mulakan dengan hati yang bersih, tulus ikhlas hanya kerana Allah SWT seperti mana niat kita berpuasa hanya kerana Allah SWT. Kita menjaga setiap perbuatan kita agar tidak membatalkan ibadah puasa yang kita jalani hanya kerana Allah SWT. Kita berusaha disiplinkan diri termasuk berhenti merokok dan melakukan perbuatan yang sia-sia hanya kerana Allah SWT. Kita bersolat sunat tarawikh dan ibadat-ibadat sunat lain untuk mendapat pahala Allah SWT. Bahawa apa yang kita lakukan ini adalah untuk menunaikan amanah Allah SWT serta kewajiban lainnya hanya kerana Allah SWT.

Kedua, universiti adalah institusi ilmu yang wajib kita bangunkan dengan segenap kekuatan yang ada untuk mencapai kecemerlangan yang kita miliki dalam disiplin apa sekali pun sebagai amanah Allah SWT untuk kita gunakan demi kebaikan ummah. Amanah untuk membangunkan dunia yang lestari, dunia akhir zaman yang memerlukan pemikiran besar dalam melakukan perubahan dan transformasi. Dunia yang semakin hilang arah dalam kekalutan dan kegawatan moral dan morale. Dunia yang manusianya semakin rapuh jiwa dan pegangannya.  Kita perlu kuat dan memimpin dalam penyelidikan dan inovasi, dalam pembangunan mahasiswanya, dalam pemindahan ilmu, dalam akademik, dalam khidmat komuniti, dalam pembangunan industri mahu pun dalam pelbagai usaha lainnya termasuk menjadi yang terbaik di dunia seluruhnya. Semuanya juga kerana Allah SWT.

Ketiga, Ramadhan ini sewajarnya menginsafkan kita dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah untuk bersama-sama membangunkan generasi masa hadapan yang berupaya memimpin dan meneruskan kekuatan ilmu yang ada untuk mengajak umat terus melakukan kebaikan. Untuk kita gunakan segenap kekuatan yang kita bangunkan demi melahirkan generasi cemerlang, generasi beriman dan beramal soleh dan generasi yang dapat memimpin kepada kebaikan. Semuanya kerana Allah SWT.

Keempat, untuk membangunkan kecemerlangan insan, Ramadhan membawakan kita menu kehidupan dan panduan yang sangat penting dikaji, diteliti diamalkan. Yang jika mampu membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungannya, akan membawa kerahmatan kepada seisi alam. Itulah mukjizat Al-Quran yang diturunkan Allah SWT dan diminta kita memahami dan mengamalkan isi kandungannya.  Al-Quran yang menjadi khazanah ilmu yang sangat penting dan berguna dalam pembangunan tamadun hidup manusia seluruhnya. Menyediakan garis panduan untuk kita jalani kehidupan dan diperkukuhkan dengan hadis dan amalan baginda Rasulullah SAW.

Kelima, Ramadhan menyediakan disiplin yang lengkap untuk kita teruskan kelangsungannya pada sebelas bulan berikutnya. Ramadhan yang mengajar kita erti kasih sayang, erti belas ihsan, erti sebenar kehidupan yang cemerlang, bermula dari insan yang cemerlang dan menghasilkan dunia yang cemerlang. Ramadhan yang menyediakan segenap ruang dan peluang untuk kita isi dalam mencari keredhaan Allah SWT dengan sifat ihsan - yang kita melakukan apa jua perkara, yang kita fikir dan niatkan apa jua yang kita inginkan seolah-olah Allah SWT melihat dan mengetahuinya yang sesungguhnya Dia memang mengetahui. 

Namun yang paling penting, ia perlu bermula dari diri, hati dan qalbu kita. Dari jiwa kita. Ramadhan mendidik kita untuk membangunkan, mengukuh dan memperkatakan hati dan qalbu kita untuk melakukan semuanya hanya kerana Allah SWT. Setiap keputusan dan kepimpinan kita berlandaskan syariat dan keredhaan Allah SWT. Seperti mana kita melakukan ibadah-ibadah lainnya, seperti mana kita berjuang fi sabilillah dan berjihad, segalanya hanya kerana Allah.  Jika ini dapat kita lakukan, maka pada penghujung Ramadhan nanti, tentunya ada perubahan dan transformasi yang akan terjadi yang hasilnya adalah dari didikan dari madrasah dan universiti Ramadhan yang kita lalui ini. Ramadhan yang mendidik dan membangunkan hati dan jiwa kita yang bersih yang pada akhirnya kita tidak perlu lagi dipantau oleh manusia dalam melakukan apa jua kerja yang dibuat.

Kita akan mengisi masa dengan sempurna. Kita datang kerja dan melakukannya dengan rasa beratnya bahu yang memikul amanah dan tanggungjawab dengan berlandaskan pemerhatian Allah SWT. Kita bertindak dalam pengawasan Allah SWT kerana pada akhirnya kita tahu bahawa Laporan Penilaian Prestasi atau LPP sebenar kita bukanlah hanya ditentukan oleh ketua jabatan terapi Allah SWT yang kita akan kembali kepadaNya. Dan kita hanya mengharapkan penilaian yang cemerlang untuk menjalani kehidupan abadi kita dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.  Kecemerlangan akhirat menjadi matlamat akhir yang dicapai melalui kecemerlangan dunia yang dibuat melalui pelaksanaan amanah dan tanggungjawab yang kita pegang dengan baik dan sempurna.

Seperti mana seorang pejuang di medan perang pada zaman Rasulullah SAW yang walaupun bilangannya sedikit,  walaupun berperang dan berjihad pada bulan Ramadhan, berpuasa dan berlapar dahaga, dalam panas terik dan bahang matahari padang pasir,  para sahabat yang bersedia syahid hanya untuk mendapat syurga Allah SWT  berjaya menghadapinya dengan cemerlang.  Begitu jugalah kita yang sepatutnya berjuang dan berperang dengan menunaikan amanah yang kita pikul di universiti ini untuk terus cemerlangkan ilmu dan insan yang ada di dalamnya, yang pada akhirnya juga untuk mencapai keredhaan dan syurga Allah SWT.  Kita akan kuat jiwa dan raga, fizikal dan minda kita, kuat dari dalam diri dan kuat juga dalam membangunkan kecemerlangan yang diperlukan dalam kehidupan dunia kita.

Marilah kita berazam dan beriltizam agar Ramadhan Al-Mubarak yang kita lalui kali ini akan berupaya menjadikan kita lebih baik, lebih cemerlang dan lebih berjaya di dunia dan akhirat. Di sini titik mula kita untuk mencapai kecemerlangan diri dan institusi, dari semangat dan didikan Ramadhan kali ini.

Semoga kita mendapat kebaikan dari tazkirah ini dan saya berdoa agar kita semua diberikan kekuatan untuk menjalani disiplin Ramadhan ini dengan sempurna mungkin.

*Tazkirah Ramadhan, Masjid Al-Malik Khalid USM. 6 Jun 2016

 

  • Created on .
  • Hits: 1337

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024