USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MULAKAN PROGRAM ‘BIG’

PNCBIG

USM, PULAU PINANG, 1 Jun 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan mulakan program yang dinamakan Business Income Generation (BIG) sebagai asas bagi penjanaan kewangan kepada universiti.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menjelaskan konsep BIG ini digunakan bagi membuat beberapa perubahan dalam struktur dan tatacara kewangan dalam menjana pendapatan selaras dengan perubahan dan cabaran ekonomi sekarang.

IMG 0281nhm

“Pada tahun 2016, kita mengharungi satu situasi yang memerlukan kita lebih berdikari dan berautonomi dalam menjalankan operasi universiti dan mencari idea dalam menjana pendapatan  sendiri dari sumber-sumber yang ada termasuk menggunakan kekuatan staf dan warga USM dan memanfaatkan fasiliti yang ada dengan cara lebih kreatif,” kata Omar.

fgf45

Bercakap kepada kira-kira 100 orang kakitangan USM yang menghadiri Perhimpunan Bulanan hari ini, Naib Canselor menegaskan bahawa, penjenamaan program BIG ini diadakan supaya semua warga USM dapat memusatkan usaha ini di samping memberikan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti dan menghasilkan graduan yang HEBAT serta menghasilkan penyelidikan-penyelidikan berimpak tinggi yang 'prominence'.

Omar menggesa seluruh warga USM menjayakan agenda BIG untuk diterapkan sebagai pembudayaan keusahawanan terutama dalam kalangan ketua-ketua jabatan untuk menjana dan memastikan USM boleh berdikari menjana kewangan untuk operasi universiti pada masa hadapan.

IMG 0290ji

“USM juga mempunyai sumber yang tidak terhad iaitu stafnya yang hebat dan berdaya saing yang mampu membantu universiti menjana kewangan dari pelbagai aspek contohnya kemudahan yang ada di USM yang boleh disewakan kepada agensi-agensi luar dan ini secara tidak langsung dapat menjana kewangan kepada universiti,” tambahnya.

Selain itu, USM akan melakukan perubahan dan merancang transformasi  anak syarikat USM, USAINS Holding untuk menjadi  salah satu agen dan entiti berdaya maju untuk membantu universiti menjana kewangan.

Naib Canselor mengingatkan warga USM untuk sentiasa meningkatkan integriti, berakhlak mulia dan menjaga kesihatan diri dalam mengharungi cabaran-cabaran yang ada.

IMG 0302gj

Yang turut memberikan ucapan dalam perhimpunan tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail yang dilantik menjadi dekan sejak Januari lalu.

Menurut Hairul Nizam, walaupun baru sahaja memegang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, pengalamannya sebagai pensyarah di USM telah banyak membantunya untuk mentadbir.

“Amanah yang terlalu berat sebenarnya untuk menerajui pusat pengajian yang mempunyai ramai pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan peringkat Sarjana, namun dengan peluang yang diberikan ini mampu untuk meningkatkan perkembangan kerjaya dan pengalaman yang sangat berharga untuk diri saya,” katanya.

Tegas Harirul Nizam, sekarang adalah masa untuk melakukan muhasabah diri, melihat setiap perancangan dan pencapaian yang ada serta melakukan perubahan yang sesuai untuk menunaikan amanah yang dipikul.

"Ramadhan yang akan datang ini seharusnya menguatkan lagi usaha kita untuk menjadi lebih produktif memandangkan kebanyakan kejayaan yang dicapai dalam sejarah Islam berlaku semasa bulan Ramadhan termasuk kemenangan dalam peperangan, bukannya menjadikan kita lebih lemah dan kurang produktif," tegas Hairul Nizam lagi.

IMG 0295k

Pembantu Tadbir Pusat Transformasi Insan, Sarur Hadi yang mewakili staf sokongan pula berpesan kepada rakan-rakan yang hadir agar amanah yang diberikan digalas dengan sebaik mungkin dan mengutip setiap pengalaman bekerja itu supaya dapat dimanfaatkan pada masa hadapan.

“Setiap pekerjaan yang kita lakukan akan mempunyai cabarannya yang tersendiri dan cabaran itulah kita jadikan suatu pengalaman yang harus kita kutip dan manfaatkan walaupun kita telah berhijrah ke tempat lain,” katanya yang kini sudah berkhidmat selama 36 tahun bersama USM dan akan bersara wajib pada tahun hadapan.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1586

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024