USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SOKONG INISIATIF WHO BANTERAS MEROKOK

WHO

USM, PULAU PINANG, 31 Mei 2016 – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan 31 Mei setiap tahun sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia. Tema yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun ini adalah ‘Get Ready for Plain Packaging’.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman  mengingatkan warga USM tentang bahaya merokok dan harus berusaha untuk menjauhkan diri daripada gejala yang tidak sihat ini yang turut memberikan keburukan kepada orang lain.

“Sehingga kini, enam juta orang telah meninggal dunia kerana rokok dan lebih 10 peratus orang di sekelilingnya terkesan kerana merokok. Oleh itu saya menyeru supaya staf dan pelajar USM untuk melaksanakan kehidupan yang sihat dan sejahtera serta tidak terikat sebagai perokok dan menggunakan tembakau,” kata Omar.

Pusat Racun Negara USM turut sama menyokong dalam memperjuangkan isu pembungkusan kosong luar kotak rokok yang selaras dalam semua jenis produk tembakau seperti seruan WHO.

Pengarahnya, Profesor Madya Razak Lajis berkata, matlamat sambutan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa imej komersial yang ditunjukkan oleh syarikat rokok perlu dihentikan kerana ia memberi persepsi yang salah dan menyimpang daripada fakta sebenar kesan buruk merokok kepada kesihatan.

Menurut Artikel 11 dan 13 Konvensyen Kerangka WHO mengenai Kawalan Tembakau, adalah disarankan agar semua pihak yang terlibat dengan industri tembakau mengadaptasikan pembungkusan kosong dalam mengurangkan perokok di seluruh dunia.

“Pembungkusan kosong tanpa nama, warna, logo, imej jenama dan maklumat promosi kecuali nama jenama dan produk itu akan mengurangkan daya tarikan selain mengehadkan pengiklanan jenama itu,” katanya ketika ditemubual.

Selain itu, Pusat Racun Negara USM turut  bekerjasama dengan MySihat USM dalam usaha untuk mengurangkan perokok dalam kalangan masyarakat umumnya dan warga USM khasnya melalui pelbagai mekanisme antaranya yang masih dikekalkan ialah USM Bebas Tembakau yang dilancarkan pada tahun 2013.

“Program yang dijalankan selama tiga tahun ini dilihat menampakkan impak positif apabila warga USM tidak lagi merokok di dalam kampus dan ini telah memberikan sokongan padu kepada warga USM untuk terus hidup dalam persekitaran yang bersih dan sihat,” katanya.

Kata Razak lagi, USM turut menerima geran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk program promosi MySihat dalam menjayakan USM Bebas Tembakau serta menjalankan kempen-kempen bebas tembakau untuk manfaat masyarakat setempat.

Malaysia dianggarkan mempunyai lebih empat juta perokok tegar dan jumlah tersebut dijangka bertambah dengan lebih ramai wanita dan golongan remaja mula merokok di usia purata sekitar 19 tahun.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 909

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024