USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MDP SIGNIFIKAN DENGAN INDUSTRI DAN PEMBANGUNAN MAPAN

 DSC0689hif

USM, PULAU PINANG, 31 Mei 2016 – Program akademik Sarjana Amalan Pembangunan (MDP) yang ditawarkan di 28 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia disifatkan amat signifikan dan menyumbang kepada pembangunan mapan secara global.

Salah seorang pelajar MDP dari Universiti Sains Malaysia (USM), Inderjeet Singh a/l Sohan Singh berkata, program unik yang membolehkan pembelajaran rentas bidang itu sangat bertepatan dengan dunia perniagaan dan industri masa kini.

Katanya, dengan keadaan semasa di Malaysia misalnya, banyak sumber semulajadi berkurangan kesan dari aktiviti pembangunan dan pendedahan dalam MDP dilihat antara inisiatif yang dapat menjana strategi dalam pengurusan sumber yang lebih efisien.

 DSC0711hj

“Kelestarian yang menjadi tunjang dalam MDP dilihat sebagai fokus yang berupaya membentuk strategi dalam pengurusan sumber, ditambah pula dengan kekuatan ilmu rentas bidang yang dapat menyuntik lebih banyak input untuk pembangunan,” katanya.

Beliau yang juga Konsultan Kanan, Perancangan Kumpulan dan Pembangunan Perniagaan  SIRIM Berhad juga menyifatkan ilmu yang diperoleh dengan mengikuti MDP dapat diaplikasikan dalam menentukan strategi amalan pembangunan terbaik untuk organisasinya.

Inderjeet ditemubual bersempena penganjuran 8th Annual Global Association of Master’s in Development Practice (MDP) Programme Summit yang julung kali dianjurkan di Malaysia (USM) di sini hari ini.

Dua lagi peserta yang juga alumni MDP dari University of James Cook, Australia, masing-masing James Langston dan Rebecca Riggs pula menyifatkan program tersebut dapat mendekatkan sekumpulan masyarakat global dengan pelbagai latar belakang dalam satu platform keilmuan.

 DSC0715g

James berkata, MDP membuka peluang kerjasama lebih kukuh dengan kekuatan pelbagai cabang ilmu yang boleh digabungkan untuk perkongsian idea mengenai praktis terbaik dalam pembangunan yang dapat memberi manfaat kepada peserta.

“Dunia masa hadapan memperlihatkan pembangunan deras dan kebolehan untuk berinteraksi di antara satu sama lain di peringkat global menjadi begitu signifikan dan penting untuk pembangunan yang lebih baik seperti yang sepatutnya berlaku,” katanya.

Rebecca pula menegaskan, dengan MDP pelajar bukan sekadar mengikuti pengajian secara konvensional dalam bilik kuliah namun ia lebih holistik kerana memberi peluang kepada pelajar mempelajari sesuatu di antara satu sama lain.

 DSC0712vgj

“Saya berpeluang berinteraksi dengan masyarakat di seluruh dunia termasuk dari Indonesia, Cameroon, Bangladesh, Equador dan sebagainya, selain dapat mengaitkan isu yang dihadapi di negara-nagara lain dengan negara sendiri, Australia.

“Walaupun tahap pembangunan berbeza, namun ada di antaranya dapat dijadikan panduan dalam mempraktikkan amalan lebih baik untuk pembangunan di negara sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, sidang kemuncak yang membariskan nama-nama besar dalam kepimpinan, pelajar dan alumni MDP dari seluruh dunia itu menjadi platform untuk para peserta mengkaji semula pencapaian yang lalu, berkongsi amalan terbaik dan membincangkan idea-idea bagi perancangan strategik jangka panjang.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 775

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024