USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MDP PLATFORM WUJUDKAN PROSPEKTUS KELESTARIAN MASA HADAPAN

IMG 0238kl

USM, PULAU PINANG, 31 Mei 2016 – Sidang Kemuncak Tahunan Pertubuhan Global Program Sarjana Amalan Pembangunan (MDP) kali ke-8 diharap menjadi platform perbincangan intensif dalam menyediakan satu prospektus masa hadapan yang berkait secara langsung dengan kelestarian pembangunan.

Bercakap dalam majlis perasmian sidang kemuncak itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, usaha ke arah membudayakan kelestarian dalam pelbagai cabang pembangunan memerlukan komitmen semua pihak khususnya di peringkat global.

Katanya, banyak cabaran yang perlu ditangani di masa hadapan termasuk kepesatan modernisasi yang menuntut penduduk global melihat kelestarian sebagai satu isu penting yang perlu dipraktiskan untuk manfaat generasi akan datang.

IMG 0230kj

"MDP adalah satu model holistik yang menggambarkan konsep kesamaan dan kesepakatan, yang memberi refleksi untuk setiap institusi yang terlibat sentiasa bekerjasama, berkongsi sumber, bakat dan peluang-peluang yang ada untuk terus berkembang secara global.

“Cabaran semasa bidang kelestarian menuntut institusi pendidikan tinggi di seluruh dunia bekerja rapat untuk mencapai matlamat memperjuangkan kelestarian, sekaligus berkongsi kekuatan untuk saling membantu di antara satu sama lain,” katanya.

Secara umumnya, USM julung kali terpilih menjadi tuan rumah dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara menganjurkan sidang kemuncak yang membariskan nama-nama besar dalam kepimpinan, pelajar dan alumni MDP dari seluruh dunia itu.

MDP adalah satu program akademik peringkat sarjana yang unik selama dua tahun yang membolehkan pelajar mengikuti pengajian secara multidisiplin dengan meliputi bidang seperti sains kesihatan, sains alam sekitar, sains sosial dan sebagainya.

 DSC0649yhk

Sehingga kini, USM adalah satu-satunya institusi di rantau ini yang menawarkan MDP selain dari 28 universiti-universiti global, antaranya Columbia University, University of California, Berkeley, University of Florida, University of Minnesota, USA,  University of Waterloo, Canada, Sciences Po – Paris School of International Affairs (PSIA), France, Lund University, Sweden dan pelbagai lagi.

Dalam pada itu, ahli Pertubuhan Global MDP merangkap akademia dari Emory University, Amerika Syarikat, Profesor Dr. David Nugent pula berkata, sehingga kini MDP telah berkembang secara konsisten dengan ribuan alumni serba boleh di seluruh dunia.

Katanya, 90 peratus graduan MDP berupaya meraih peluang kerjaya dalam pelbagai sektor pembangunan enam bulan sebelum mereka bergraduasi dan ia menunjukkan kepakaran dalam bidang ini amat ditagih untuk membawa perubahan kepada amalan biasa dalam kerja-kerja pembangunan.

"Ini adalah antara contoh hasrat yang telah dijayakan melalui program ini dan kita juga mempunyai satu pertubuhan pelajar dan alumni MDP yang berperanan dalam menyumbang input untuk kita mengetahui apa yang diperlukan dan boleh ditambah-baik untuk terus berkembang dan berdaya saing,” katanya.

Beliau juga berkata, MDP sangat relevan dengan dunia hari ini dan setiap pelajar yang mengikuti bidang ini berupaya mendapat pendedahan secara langsung berbentuk latihan dalam praktis pembangunan.

"Pelajar dibawa keluar dari situasi silo dan boleh dilatih dengan begitu baik dalam pelbagai lapangan termasuk kimia, antropologi, sains sosial dan sebagainya. Ini antara keunikan yang menjadi perhatian banyak majikan di sektor pembangunan,” katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 783

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024