USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TAWAR PROGRAM PESISIR BERSAMA AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

IMG 0209G

PULAU PINANG, 30 Mei 2016 – Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF) Universiti Sains Malaysia (USM) akan menawarkan program pesisir Sarjana Sains (Sains Sinaran) bersama Agensi Nuklear Malaysia, Bangi bermula pada September ini.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian kursus “Overview and Key Topics in the World Nuclear Industry Today” hari ini, Dekan PPSF Prof. Dr. Mohamad Suhaimi Jaafar berkata, program yang akan dilaksanakan bermula September ini merupakan antara lanjutan hasil daripada Penandatanganan Perjanjian Kerjasama (MoA) antara USM dan Agensi Nuklear Malaysia pada tahun lalu.

“Antara manfaat untuk USM bagi program ini adalah pensyarah dari PPSF dapat menyumbang kepakaran pada peringkat Asia Pasifik, pengukuhan program mod campuran ini dan memposisikan kecemerlangan imej USM di peringkat serantau,” jelasnya yang merupakan penyelaras akademik projek kerjasama ini.

IMG 0196gh

Tambahnya, para pensyarah dan tenaga pengajar sedang mengikuti latihan buat masa ini di Agensi Nuklear Malaysia bagi persiapan permulaan program ini dan berharap juga para pelajar yang akan dihasilkan melalui program ini mempunyai pengetahuan lebih baik untuk industri kelak.

“Program ini juga kelak akan dilaksanakan bersama dengan Nagaoka University of Technology Jepun selama 2 tahun dalam bidang ini dan juga Sarjana Kejuruteraan (Keselamatan Nuklear) selepas program bersama dengan Agensi Nuklear Malaysia ini dilaksanakan,” ulas lanjutnya.

Terdahulu berlangsung majlis perasmian kursus “Overview and Key Topics in the World Nuclear Industry Today” yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) Agensi Nuklear Malaysia.

 IMG 0217GJ

Kursus ini adalah anjuran bersama MARPA (Malaysian Radiation Protection Association) dan WNU (World Nuclear University) dengan sokongan dari Agensi Nuklear Malaysia dan USM (Universiti Sains Malaysia) sebagai hos tempatan.

Kursus ini disertai lebih 60 orang peserta dari 22 buah negara dari seluruh pelusuk dunia.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1191

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024