USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MGTF USM PAMER "LANSKAP BUDAYA SAINS DAN SENI" DI HMA 2016 PERINGKAT KEBANGSAAN

13077000 10201765177048714 1434260703858636839 n
 
PULAU PINANG, 30 Mei 2016 - Sambutan  Hari Muzium Antarabangsa (HMA) peringkat kebangsaan kali ke-20 bermula pada 15 hingga 21 Mei 2016 yang bertemakan  “Muzium dan Lanskap Budaya” atau Museum and Cultural Landscapes dengan jelas menunjukkan pengiktirafan organisasi muzium turut berperanan penting sebagaimana pentingnya organisasi-organisasi lain dalam bersama kerajaan membangunkan Negara. 
 
Menurut Pengarah Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM), Zolkurnian Hassan, pihak International Council of Museum (ICOM) mengiktiraf tarikh 18 Mei setiap tahun sebagai “Hari Muzium Antarabangsa" yang disambut oleh komuniti muzium di seluruh dunia.
 
Katanya, tema tahun ini selari dengan peranan yang dimainkan oleh institusi permuziuman di negara ini agar terus gigih menjaga, memulihara dan melestarikan khazanah sejarah, budaya dan warisan negara. 
13263698 10201765176448699 2405086921035944147 n
 
"Usaha ini secara tidak langsung mampu memantapkan lagi elemen jati diri dalam melahirkan perasaan hormat menghormati antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat  pelbagai bangsa, budaya dan agama.
 
"Institusi muzium juga merupakan satu entiti yang penting dalam pelestarian budaya dan warisan negara dan muzium kini bukan sahaja dilihat sebagai institusi sejarah semata-mata, malah ia merupakan institusi pembinaan minda yang unggul dan mampu membawa agenda kesedaran terhadap budaya, sejarah dan alam semulajadi negara, melalui aktiviti pameran, pemuliharaan, pendidikan dan pengembangan ilmu dalam usaha melestarikan khazanah negara," jelasnya.
 
Ulas lanjutnya, MGTF USM merupakan ahli berdaftar Persatuan Muzium-Muzium Malaysia (PMM) dan turut menyertai sambutan HMA 2016 dengan melibatkan diri dalam beberapa aktiviti seperti Karnival Hari Muzium Antarabangsa, program bersama komuniti, lawatan keilmuan, seminar dan sukan persahabatan. 
 
Zolkurnian juga memberitahu di dalam Karnival HMA, USM melalui MGTF menyertai pameran yang bertemakan “Lanskap Budaya Sains dan Seni” yang mengetengahkan bukti tamadun Islam dan bidang Sains dan Seni dalam lanskap budaya manusia, dengan mengambil contoh atau impak perkembangan tamadun Islam di Eropah (Andalusia) dan Timur Tengah (Bani Umayyah dan Abbassiyah dan kerajaan Islam yang lain), sehingga merubah pandangan manusia seluruh dunia tentang Islam. 
 
13267777 10201765154208143 809756164744550397 n
 
"Bidang Sains yang menonjol pada masa itu ialah sains astronomi dengan bidang sains yang lain hingga kegemilangannya sekitar tahun 711 hingga 1492 masihi dan pameran yang dibawa oleh MGTF mengandungi dua elemen yang ditonjolkan iaitu pertama, bidang sains astronomi, sains dan teknologi 3D dan kedua ialah seni kaligrafi atau seni tulisan arab dengan hasil kaligrafi daripada China Muslim dari China.
 
"Kedua-dua bidang sains dan seni ini adalah bertujuan untuk mengembalikan pengetahuan kita tentang lanskap budaya masa silam yang menggambarkan kegemilangan Islam untuk generasi masa kini," tambahnya.
 
Di Malaysia, tuan rumah untuk menjayakan sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan diadakan secara bergilir setiap tahun, bermula dengan Kuala Lumpur pada tahun 1997 hingga kini tahun 2016 negeri Kedah dipilih sebagai tuan rumah sambutan. 
 
Hari Muzium Antarabangsa, peringkat kebangsaan tahun ini telah disertai oleh lebih kurang 700 penyertaan daripada 31 buah muzium diseluruh Malaysia.
 
Agensi penganjuran adalah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Persatuan Muzium Malaysia (PMM) dengan kerjasama Lembaga Muzium negeri Kedah (LMK). 
 
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Teks Asal : Zolkurnian Hassan
  • Created on .
  • Hits: 1000

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024