USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TAN SRI DR. M. JEGATHESAN DINOBATKAN TOKOH SUKAN NEGARA

DSC 0263

PULAU PINANG, 28 Mei 2016 - Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Dato' Dr. M. Jegathesan telah dinobatkan Tokoh Sukan Negara dalam majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) edisi ke-50 yang berlangsung dengan gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Jegathesan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Persatuan Olahraga Amatur Asia diberi pengiktirafan itu atas jasa dan sumbangan beliau yang cemerlang dalam pembangunan sukan negara.

Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman turut mengucapkan tahniah atas pengiktirafan tinggi yang diterima oleh Jegathesan.

"Beliau adalah contoh wira sukan negara yang secara berterusan memberikan sepenuh jiwa raganya untuk pembangunan sukan negara," kata Omar.

Turut menerima Anugerah Tokoh Sukan Negara ialah Presiden Persatuan Kriket Melayu dan bekas Presiden Persatuan Lawn Bowls Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. 

Anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut berkenan menghadiri majlis ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Anugerah Sukan Negara dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara mula diperkenalkan pada tahun 1966 dan merupakan anugerah tertinggi kerajaan kepada atlet, pegawai, badan dan pertubuhan sukan sama ada di peringkat amatur atau profesional untuk menghargai sumbangan mereka kepada pembangunan sukan negara.

Jegathesan pernah memenangi anugerah olahragawan kebangsaan dalam ASN pertama yang dilangsungkan pada tahun 1966 kerana pencapaiannya memenangi 3 pingat emas dalam Sukan Asian di Bangkok dan mendapat gelaran pelari terpantas di Asia.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 5052

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024