USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HARGAI ATLET HARUMKAN NAMA UNIVERSITI

IMG 0159f

USM, PULAU PINANG, 26 Mei 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa menghargai dan mengiktiraf atlet-atlet yang telah mengharumkan nama universiti dan negara dalam pelbagai kejohanan dan penggiat-penggiat sukan yang komited dalam menyumbang bakti kepada pembangunan dan pencapaian sukan universiti baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Demikian jelas Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam Majlis Anugerah Sukan USM ke-38 yang berlangsung di sini, malam tadi.

“Selaras dengan impian universiti APEX yang memasuki fasa dua menekankan kepada pengoptimuman sumber dan penjanaan kewangan, saya berpendapat dengan prasarana kemudahan 80 peratus lengkap dan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta keupayaan warga sukan telah mula menampakkan hasil yang memberangsangkan,” kata Omar.

Tambahnya, Fatin Nurfatehah Mat Salleh daripada sukan memanah telah membuktikan USM sememangnya mampu melahirkan atlet-atlet terbaik apabila terpilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Universiti Dunia di Mongolia dan turut dicalonkan oleh Majlis Sukan Negara untuk kategori Olahragawati Negara.

“Pengiktirafan tersebut menjadi batu loncatan dan semangat untuk atlet kita yang terpilih mewakili negara untuk terus mempamer aksi membanggakan dalam pertandingan yang berskala besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia,” jelasnya lagi.

Yang hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed.

IMG 0189h

Pada majlis tersebut, Lim Chee Wei yang aktif dalam sukan Karate-Do dinobatkan sebagai olahragawan USM 2015/2016 buat kali kedua atas kejayaannya memperoleh pingat gangsa ketika pertandingan Asean Championship dan Dubai Open tahun lepas serta pingat emas dalam pertandingan karate di Kejohanan Kebangsaan.

Chee Wei, 24, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan mula melibatkan diri dalam sukan Karate sejak berumur 10 tahun dan mewakili negara ketika berusia 18 tahun.

Beliau menerima sijil penghargaan,  Piala Pusingan, wang tunai RM400 dan pakaian sukan sumbangan Wilson.

“Saya berterima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan pegawai sukan USM yang banyak memberikan sokongan sehingga saya mampu mencapai kejayaan seperti hari ini,” katanya.

Tambahnya lagi dengan anugerah yang diperolehinya ini mampu memberi semangat untuknya lebih menempa kejayaan khususnya di peringkat antarabangsa.

Chee Wei juga berhasrat untuk memasuki pertandingan di peringkat antarabangsa terutamanya di Eropah.

IMG 0337h

Sementara itu, atlet memanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dinobatkan sebagai olahragawati USM 2015/2016.

Beliau telah mengharumkan nama universiti dalam pelbagai peringkat pertandingan dalam dan luar negara antaranya, memenangi pingat gangsa dalam 19th Asian Archery Championship Bangkok, pingat emas dalam pertandingan Asia Cup Stage 1 Bangkok Thailand dan meraih dua pingat emas dan satu perak di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2016.

Fatin Nur Fatehah yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut kerana berada di Kuala Lumpur untuk Majlis Anugerah Sukan Negara diwakili oleh jurulatihnya, Mon Reddi Suttxi yang menerima sijil penghargaan, Piala Pusingan, wang tunai RM400 dan barangan sukan tajaan Wilson.

Pengiktirafan dan penghargaan turut disampaikan kepada semua jurulatih, ketua pasukan setiap kategori sukan dan sukarelawan pelajar yang banyak membantu menjayakan setiap kejohanan yang dianjurkan di dalam dan di luar USM.

Anugerah-anugerah lain yang disampaikan pada Majlis Anugerah Sukan USM ke-38 adalah seperti berikut:

Olahragawan USM : Lim Chee Wei (Karate)

Olahragawati USM: Fatin Nurfatehah Mat Salleh (Memanah)

Bintang Harapan Lelaki : Loh Chuan Sheng (Karate)

Bintang Harapan Wanita : Geh Cheow Lin (Pelayaran)

Pasukan Terbaik Lelaki 6 < orang : Pasukan Olahraga USM

Pasukan Terbaik Wanita 6 < orang : Pasukan Taekwondo

Pasukan Terbaik Lelaki 7 > orang : Pasukan Hoki

Pasukan Terbaik Wanita 7 > orang : Tiada pemenang

Anugerah Khas Pelajar Kelainan Upaya : Yeow Ting Fong

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1321

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024