USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TINGKATKAN PRODUKTIVITI KERJA DEMI KEJAYAAN UNIVERSITI

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Mei 2016 – Warga staf Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk menjalankan perkhidmatan dengan lebih berkesan bagi meningkatkan produktiviti kerja demi melestarikan kejayaan kepada universiti.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman berkata, setiap staf dari pihak pengurusan atasan hingga ke peringkat pelaksanaan perlu bergerak jauh ke hadapan melalui sikap bekerjasama dan kerja berpasukan atas prinsip asas ‘Kami dan Kita sayangkan USM’.

“Sama seperti moto USM yang telah diletakkan sebagai asas penting untuk kejayaan universiti iaitu ‘Kami Memimpin’, sifat kerjasama yang merentasi keakuan dan sikap silo yang menyebabkan banyak usaha akan berakhir apabila seseorang atau sesuatu kepakaran itu dibawa bersama mereka meninggalkan pejabat, jabatan, pusat pengajian atau universiti.

“Untuk mencapai kejayaan, kita harus lebih berkomunikasi, bekerjasama dan berkolaborasi dengan mereka yang hebat dan terkemuka di luar sana kerana setiap tugasan yang diberikan merupakan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam Majlis Penghargaan Perkhidmatan 2015 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, di sini hari ini.

Omar turut menyeru warga staf untuk sama-sama mengukuhkan usaha ini dalam memastikan USM kekal memimpin atas prinsip ‘Kami Sayang USM’ serta ‘Kami Memacu Kecemerlangan’.

“Saya yakin dan percaya USM mampu menjadi sebuah universiti yang berautonomi dan berdaya maju di samping meningkatkan pendapatan untuk menjadi sebuah organisasi yang mampu berdikari sendiri tanpa kebergantungan daripada kerajaan,” ujarnya.

Seramai 389 staf Kampus Kesihatan USM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) berdasarkan prestasi kerja cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun 2015 dan 83 orang staf menerima Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) sebagai menghargai jasa mereka yang telah bersara dari perkhidmatan.

Kesemua penerima APC pada tahun ini membawa pulang sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium yang dikeluarkan oleh Bank Simpanan Nasional bernilai RM1,000.

Sementara itu, sepasang suami isteri yang menerima AJD, Mohd Fakri Yusof, 61, yang bersara wajib dan isterinya Rashidah Abdullah, 58, yang memilih bersara pilihan merakamkan penghargaan terima kasih kepada universiti atas anugerah yang diterima.

“Sepanjang berkhidmat lebih 36 tahun bersama USM, saya tidak pernah berasa penat dan lelah dalam mencurahkan khidmat bakti bagi memastikan hasrat universiti untuk memacu kecemerlangan berjalan dengan lancar.

“Saya berharap agar generasi baharu dan akan datang tidak berkira dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kerana di penghujungnya jasa dan pengorbanan kita akan Allah balas dengan sebuah ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan yang berpanjangan,” ujar Mohd Fakri yang merupakan mantan Timbalan Pengarah Keselamatan, Kampus Kesihatan USM.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor, (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Pengarah Kampus Kesihatan dan Penolong Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed; Pendaftar Profesor Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin; Bendahari USM Dr. Rohayati Mohd Isa; Pengarah Bahagian Sumber Manusia Dr. Musa Ali, dekan-dekan dan pegawai-pegawai universiti.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/ Foto: Mohd Amin Syafiq Mohd Sakri

  • Created on .
  • Hits: 872

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024