USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGANJURAN FESTIVAL KEDAH TUA DAPAT SAMBUTAN DAN DIIKTIRAF

aPAI

SUNGAI PETANI, 23 Mei 2016 - Penganjuran Festival Kedah Tua (FKT) 2016 selama 3 hari di Tapak Arkeologi Sungai Batu telah memberi impak serta menonjolkan ketamadunan awal Kedah Tua justeru meletakkannya sebagai salah satu ikon di dalam peta dunia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, kejayaan penganjuran program ini yang telah berjaya menghimpunkan lebih 25 pembentang dan lebih 300 peserta dari seluruh dunia telah membuktikan kehebatan Sungai Batu dalam ketamadunan Kedah Tua serta kehadiran 3,000 pengunjung ke FKT 2016 adalah sesuatu yang patut dibanggakan.

Katanya yang membacakan teks ucapan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semasa majlis penutupan FKT 2016, festival ini juga telah memberi ilmu yang bermanfaat kepada pengunjung dan ianya dapat mengukuhkan perpaduan rakyat di negeri Kedah serta berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

aPAI 3

Sementara itu, Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udanis pula menjelaskan, inisiatif penganjuran festival seperti ini amatlah membanggakan dan MITA sangat komited dalam mempromosikan Sungai Batu sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia bukan sahaja secara domestik malahan ke peringkat antarabangsa justeru mengangkat martabatnya sebagai ikon pelancongan antarabangsa.

Uzaidi berharap penduduk tempatan mengambil peluang menceburi bidang pelancongan dengan adanya Sungai Batu ini sebagai salah satu sumber untuk menjana pendapatan mereka seharian.

Turut berlangsung dalam majlis penutupan FKT 2016 adalah penyerahan Deklarasi Kedah Tua oleh Prof. Dr. Stephen Oppenheimer kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM, Prof. Dato’ Dr. Mokhtar Saidin seterusnya diserahkan kepada Datuk Mohd Rawi mewakili kerajaan negeri Kedah, dan diserahkan pula oleh Datuk Mohd Rawi kepada Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Malaysia, Mohd Zaky Hj Din.

aPAI 4

aPAI 2

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang FKT 2016 adalah ekskavasi besi dan bata, bicara Kedah tua, pameran, persembahan, pertandingan untuk pelajar sekolah dan lain-lain lagi.Turut hadir ke majlis penutup ini adalah Pegawai Daerah Kuala Muda Kedah, Tuan Haji Abdul Rahman Haji Ismail; Pengarah Bahagian Pendidikan dan Modal Insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Jariyah Hashim dan wakil dari Majlis Perbandaran Sungai Petani, Mohd Amin Ali.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain

  • Created on .
  • Hits: 1017

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024