USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BAKAL TEROKA BIDANG GEOFIZIK DAN ASTRONOMI BERSAMA NRIAG MESIR

IMG 0024

USM, PULAU PINANG, 13 Mei 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Fizik berhasrat meluaskan lagi pembangunan dalam bidang geofizik dan astronomi melalui kolaborasi bersama dengan National Research Institute of Astronomy and Geophysics (NRIAG), Mesir.

Berucap dalam Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) di sini, hari ini, Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata kolaborasi dalam bidang sains dapat dimantapkan antara kedua-dua universiti terutamanya dalam bidang geofizik dan astronomi.

“Kolaborasi bersama-sama NRIAG Mesir yang telah ditubuhkan pada tahun 1903 akan merangkumi bidang penyelidikan dan penerbitan bersama yang mampu memberi impak yang besar kepada kedua-dua pihak,” jelasnya.

Selain daripada itu, Omar turut menjelaskan bahawa NRIAG turut bersetuju untuk menerima penyelidik-penyelidik dari USM untuk menjalankan penyelidikan di sana di mana Institut ini mempunyai kira-kira 300 penyelidik yang memfokuskan bidang geofizik dan astronomi.

IMG 0030gu

“NRIAG juga akan menjalankan beberapa program latihan di USM dan kita akan membuka peluang ini kepada penyelidik-penyelidik di universiti tempatan dalam bidang geofizik,” tambah Omar.

Kata Omar lagi, USM merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan bidang geofizik pada peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah tinggi yang mampu menarik pelajar yang berkualiti dari negara-negara lain dengan pengambilan pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda seramai 25 orang setiap tahun.

Sementara itu, Presiden NRIAG, Profesor Dr. Hatem Hamdy Odah pula menyifatkan perjanjian ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan dari segi pendidikan antara USM dan NRIAG.

“MoA ini juga akan membuka peluang kepada penyelidik muda di NRIAG untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah di USM,” katanya yang menandatangani MoA itu bagi pihak NRIAG.

Tambahnya lagi, kerjasama ini merupakan langkah pertama yang dijalankan NRIAG bersama-sama USM dalam mewujudkan persekitaran akademik dan teknikal untuk menyediakan kepakaran dalam kedua-dua bidang ini dalam memenuhi permintaan negara maju.

Yang hadir sama dalam majlis ini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Prof. Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik, Profesor Dr. Mohamad Suhaimi Jaafar.

Teks: Syuhada Abd Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1732

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024