USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAMBUTAN HILAL RAMADHAN BERI PELUANG STAF USM BERINFAK

USM, PULAU PINANG, 12 Mei 2016 – Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi telah diserikan dengan Sambutan Hilal Ramadhan dan Pelancaran Aktiviti Ramadhan yang memberi peluang kepada staf Universiti Sains Malaysia (USM) untuk berinfak dengan memotong gaji mereka untuk dibelanjakan di jalan Allah S.W.T.

Menurut Pengarah Pusat Islam USM merangkap pengerusi jawatankuasa induk aktiviti Ramadhan, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idris Saleh berkata, pada tahun ini, mereka memberi peluang kepada staf USM khasnya untuk berinfak secara perlahan-lahan dengan memotong gaji mereka untuk dibelanjakan bagi kebajikan di jalan Allah. Setakat ini, seramai 50 nama sudah mendaftar dan telah bersetuju untuk memotong gajinya untuk disedekahkan.

“Di peringkat universiti ini, kami sebagai jawatankuasa aktiviti Ramadhan dan Qaryah Masjid al-Malik Khalid USM juga telah membuat persiapan, merancang dan melaksanakan aktiviti seperti majlis iftar beramai-ramai bermula sejak masjid tersebut ditubuhkan kira-kira 30 tahun yang lalu,” kata Idris Saleh.

Tambahnya lagi, sukarelawan bagi aktiviti Pusat Islam USM akan bergotong-royong dan memasak sendiri di Pusat Islam sebagai juadah berbuka puasa nanti. Ianya bukan satu kerja yang mudah bagi sukarelawan masjid dan beliau sangat berterima kasih kepada mereka yang telah mendaftar untuk berkhidmat bagi mencurahkan bakti sebagai sukarelawan masjid pada bulan Ramadhan nanti.

Manakala Pendaftar USM, Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin berkata, adalah diharapkan dengan kehadiran bulan Ramadhan ini mampu melahirkan warga staf yang memiliki keperibadian dan kualiti diri yang unggul untuk menyokong seluruh visi dan misi universiti ini.

“Saya percaya dan yakin bahawa warga kampus khususnya yang beragama Islam wajar menghayati falsafah Ramadhan al-Mubarak seiring dengan kematangan usia dan tanggungjawab dalam kerjaya,” kata Abd Aziz yang berucap ketika merasmikan Sambutan Hilal Ramadhan dan Pelancaran Aktiviti Ramadhan anjuran Pusat Islam USM pagi tadi.

Menurut Abd Aziz, sudah pasti selaku hamba Allah yang diberikan kesempatan hidup di atas muka bumi ini, peluang bertemu dengan bulan Ramadhan al Mubarak adalah satu yang terbaik untuk meningkatkan amal ibadah dan memohon keampunan daripadaNya.

“Saya berharap dengan program dan aktiviti yang bakal dijalankan dapat meningkatkan kefahaman dan kualiti sahsiah sebagai seorang muslim. Hal ini penting supaya pendidikan daripada madrasah Ramadhan dapat diterapkan dalam kehidupan dan kerja warga staf di universiti ini,” kata Abd Aziz.

Majlis ini juga diisikan dengan penyampaian yang penuh emosi daripada Ustaz Ebit Lew dengan ceramahnya yang bertajuk Ramadhan Aku Merinduimu serta penampilan istimewa daripada Qariah Malaysia, Ustazah Sharifah Khasif. 

Teks: Nur Qutreen Nada Mahamud (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 901

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024