USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SMJK CHUNG LING JOHAN NATIONAL SCIENCE CHALLENGE

USM, PULAU PINANG, 11 Mei 2016 – Pasukan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling Pulau Pinang meraih kejayaan cemerlang dalam Pertandingan National Science Challenge (NSC) peringkat negeri Pulau Pinang 2016 apabila muncul johan pertandingan anjuran bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

SMJK (C) Perempuan China Pulau Pinang pula meraih tempat kedua manakala SMK Agama (P) Al-Mashoor meraih tempat ketiga. Dua buah sekolah lagi yang mengambil bahagian ialah SMK Bukit Jambul dan SMK Convent Bukit Light.

Dalam ucapan penutupnya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri berkata, generasi belia yang ada pada hari ini adalah pemimpin bagi hari esok. Justeru itu adalah penting untuk memupuk sifat ingin tahu dan minat terhadap sains dan teknologi dalam kalangan murid-murid sekolah supaya mereka menjadikan sains sebagai satu kerjaya pilihan.

“Lebih-lebih lagi sebagai sebuah negara yang sedang memasuki fasa negara maju, sudah pastinya Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang berkelulusan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” jelas Shukri.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, YM Raja Shamsuddin Raja Salleh, kejayaan dalam persaingan global amat bergantung kepada penguasaan sains dan teknologi pada tahap yang paling tinggi.

“Saya percaya ia hanya boleh dicapai melalui perubahan sikap masyarakat terhadap sains dan teknologi sehingga membentuk budaya yang sihat ke arah penguasaan dan penggunaan sains dan teknologi dalam meningkatkan kesejahteraan hidup,” jelas Shamsuddin.

Peserta dari SMJK Chung Ling, Daniel Beh Chee Ern, 16, berkata pada awalnya tidak menyangka kumpulannya akan memenangi pertandingan NSC tersebut.

“Kami menggunakan media baru seperti youtube sebagai platform untuk kami belajar dengan lebih terperinci berkenaan dengan pendidikan terutamanya dalam bidang sains. Kami juga membuat persiapan dari aspek menguasai ilmu pengetahuan am supaya dapat menjawab soalan-soalan kuiz dan ujian dengan baik,” kata Daniel.

Tambahnya lagi, sebagai johan, dia dan rakan-rakannya begitu gembira dan bangga kerana berpeluang mewakili negeri Pulau Pinang bagi menyertai Pertandingan National Science Challenge peringkat separuh akhir kebangsaan yang bakal diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Ogos ini.

NSC ialah pertandingan sains yang dianjurkan setiap tahun oleh Young Scientist Network (YSN) di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memupuk passion dan minat khususnya pelajar-pelajar Tingkatan 4 dari sekolah menengah di seluruh Malaysia dalam STEM.

Juara NSC peringkat kebangsaan nanti akan berpeluang pergi ke Stockholm, Sweden untuk menyaksikan upacara penyampaian Nobel Prize Award yang diadakan di sana setiap tahun.

Yang turut hadir di majlis penutup dan penyampaian sijil kepada kesemua pemenang ialah Timbalan Pengerusi YSN-ASM Profesor Dr. Liong Min Tze.

Teks: Nur Qutreen Nada Mahamud (Pelajar Internship USM)

Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1032

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024