USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENDIDIKAN KHAS USM DIIKTIRAF ANTARABANGSA

 

IMG 20160425 WA0009

Manila, 11 Mei 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah di peringkat antarabangsa apabila Pensyarah Pendidikan Khas USM diiktiraf University of Santo Tomas, Manila, Filipina dalam membantu menyalurkan kepakaran dalam bidang terbabit kepada universiti berkenaan.

Dr. Aznan Che Ahmad, Pengerusi Program Pendidikan Khas Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai contoh oleh universiti tersebut dalam memperkasakan program Pendidikan Khas terutama dalam Program Pendidikan Inklusif (PPI).

Beliau dijemput menyampaikan ucap tama di hadapan hampir 150 orang pensyarah, pelajar dan tetamu jemputan bagi berkongsi idea dan kepakaran beliau dalam memahami isu semasa berkenaan Program Pendidikan Inklusif (PPI) bertajuk “Inclusive Education in Malaysia: Implement, Issues, and Barriers”.

Copy of IMG 20160425 WA0010

Ketika ditemui, Aznan amat berterima kasih kepada universiti berkenaan kerana memberinya peluang berkongsi ilmu dan kepakaran kepada universiti berkenaan seterusnya membawa nama Universiti Sains Malaysia (USM) dikenali di peringkat antarabangsa.

“Saya amat gembira kerana diberi peluang menjadi pembentang utama pada majlis ‘Early Childhood and Special Education Colloquy 2016’ dan ini menunjukkan tenaga pakar USM sentiasa menjadi perhatian universiti antarabangsa untuk berkongsi kepakaran yang kita miliki,” katanya.

Majlis diadakan sempena meraikan ulangtahun ke-90 tahun Kolej Pendidikan, University of Santo Tomas (UST).

Sempena kehadirian Aznan di Manila, beliau turut diberi penghormatan merasmikan University Santo Tomas Unity Games 2016 anjuran Special Olympics Philippines, iaitu temasya sukan orang-orang kelainan upaya.

Copy of IMG 20160425 WA0022

Tambahnya, pada majlis itu Aznan mengetengahkan isu peranan kerajaan dalam meningkatkan taraf pendidikan untuk pelajar istimewa melalui tiga sistem iaitu Sekolah Pendidikan Khas, Program Integrasi, dan Program Pendidikan Inklusif.

“Pendidikan Inklusif merujuk kepada program pendidikan di aliran perdana di mana pelajar normal dan pelajar istimewa belajar dan melakukan aktiviti bersama-sama di dalam kelas yang sama tanpa ada diskriminasi, dengan menggunakan metod pengajaran yang memberi faedah kepada pelajar normal dan juga pelajar istimewa,  kelengkapan pengajaran dan pembelajaran yang lebih membantu, dan persekitaran sekolah yang lebih kondusif seperti yang diperlukan oleh golongan terbabit,” jelasnya.

Menurutnya lagi, menerusi Program Pendidikan Inklusif, pelajar istimewa berpeluang untuk menerima pendidikan formal secara lebih khusus dalam bidang akademik dan bukan akademik.

Turut hadir adalah Dekan Kolej Pendidikan UST, Prof. Allan B. De Guzman; Regent Kolej Pendidikan UST, Rev. Fr. Jesus M. Miranda Jr. O.P; Penyelaras Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Asas UST, Marichou T. Beltran dan Penyelaras Pendidikan UST, Prof. Madya Ana Ruby   M. Paez.

Pada majlis itu juga telah diadakan majlis menandatangani kolaborasi perkongsian di antara kedua-dua pihak bagi meningkatkan taraf pendidikan khas kedua-dua negara.

Dr. Aznan Che Ahmad juga merupakan penerima anugerah peringkat antarabangsa iaitu ‘6th e-India 2010 Award’ dan ‘Best Jury Award for Innovation In Special Needs Education’ sempena World Education Summit 2011, juga seorang konsultan, penyelidik, penulis buku teks dan Pembangun Instruksi Bahan dalam pendidikan Khas.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Dr. Aznan Che Ahmad

  • Created on .
  • Hits: 4381

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024