USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHA MEMULIHARA WARISAN MELAYU PATANI

13177318 10209282833532252 6828824854497590426 n

USM, PULAU PINANG, 12 Mei 2016 - Patani kaya dengan warisan berharga yang terbukti dengan adanya monumen-monumen sejarah seperti kesan runtuhan di Yarang, Telaga Hang Tuah, Makam Ratu-ratu Patani, Makam Sultan Ismail, replika-replika meriam yang menjadi bukti kemahiran dan kekuatan Kerajaan Melayu-Patani dan Masjid Kerisek yang membuktikan bahawa Patani menyimpan khazanah warisan agama yang berharga.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Inovasi) Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed, adalah diharapkan Simposium Karya Patani dapat membantu memberikan kesedaran khusus kepada khalayak sastera Melayu-Nusantara untuk sama-sama mengangkat dan memulihara warisan Melayu-Patani khususnya dalam konteks sastera, budaya dan media.

"USM sentiasa menyokong usaha seperti ini bagi memastikan kelangsungan perkembangan sastera Melayu-Patani khususnya dalam era globalisasi yang semakin kompleks agar dapat bersaing dan menyumbang kepada pembinaan bangsa dan negara yang berteraskan aliran pemikiran sastera yang progresif dan kondusif," kata Abdul Rahman berucap merasmikan Simposium Karya Patani anjuran Bahagian Kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan pagi ini.

Patani merupakan sebahagian dari wilayah utara Semenanjung Malaysia dan terpisah secara rasmi pada tahun 1909 melalui Perjanjian Bangkok antara Thailand dengan Inggeris. Sebelum tarikh itu, Patani adalah sebuah negara yang sering dikaitkan dengan Kedah dan disebut Langkasuka.

Menurut Abdul Rahman, kerajaan lama Patani menyimpan sejarah kesultanan Melayu yang kuat dan mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan kerajaan Pahang dan Johor yang memberi impak penting dalam konteks bahasa, agama dan budaya di kedua-dua sempadan sehingga hari ini.

"Patani pernah menjadi tempat berkumpul para pendakwah dan menjadi pusat pengajian Islam secara berasrama atau dikenali sebagai pengajian pondok sekitar awal kurun ke-19, satu warisan yang harus dibangga dan dipulihara dengan sebaiknya kerana sistem berkonsepkan tarbiyyah dan hukum-hukum Islam dengan ulamak, tokoh pejuang nasib anak bangsa seperti Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani, Daud al-Fatani dan Haji Sulong," kata Abdul Rahman lagi.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Simposium Profesor Dato' Seri Md. Salleh Yaapar dan Pemangku Timbalan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Dr. Jasni Sulong.

Simposium sehari ini sebagai kesinambungan dari penganjuran Persidangan Antarabangsa Melayu Patani Mendepani Cabaran Globalisasi (2014) dan Bicara Karya Patani (2015) disertai oleh kira-kira 40 orang peserta termasuk yang datang dari Patani dan para pelajar ijazah tinggi dari Patani di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1672

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024