USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM FOKUS KOLABORASI BERSILANG

untitleddfhft

USM, PULAU PINANG, 11 Mei 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan memberikan fokus utama kepada kolaborasi bersilang untuk mengukuhkan usaha penyelidikan dan inovasi mahu pun akademik pada masa hadapan.

Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman di akhir lawatan ke Republic Czech dan beberapa buah universiti di United Kingdom hari ini.

Omar yang diberikan medal komemoratif kehormat oleh Rektor University Pardubice, Republik Czech, Profesor Dr. Miroslav Ludwig sempena persetujuan dan perjanjian persefahaman yang ditandatangani di sana berkata, bidang kolaborasi penyelidikan yang dilakukan di sini dapat dimanfaatkan melalui perkongsian penggunaan peralatan yang bernilai berjuta Euro yang baharu diperolehi universiti itu untuk penyelidikan dalam bidang teknologi nano, bahan asli dan sintetik.

Manakala semasa mengunjungi Universiti Brono, Republik Czech USM menjalinkan kerjasama akademik pada peringkat ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam bidang Kejuruteraan Awam,  Struktur dan Bahan melalui ADMAS (Advanced Materials, Structures and Technologies) di Fakulti Kejuruteraan Awamnya.

“Pusat ini adalah antara yang termaju di Republic Czech dengan kepakaran dan makmal tercanggih dalam bidang ini melalui pelaburan 30 juta Euro dan kemampuannya menggaji berapa ratus orang penyelidik pasukan teknikal pasca kedoktoran dan ijazah kedoktorannya  yang seharusnya mampu dimanfaatkan oleh USM terutamanya untuk pekhidmatan penyelidikan dan ujian berbayar dan penyelidikan termaju dalam bidang infrastruktur,” kata Omar.

Tambahnya, Rektor universiti tersebut, Profesor Ing Petr Stepanek juga bersetuju agar satu perjanjian persefahaman dapat dimeterai dalam masa terdekat.

Sementara itu, ketika berada di United Kingdom, Naib Canselor USM turut mengunjungi University of Bath dan mengadakan mesyuarat dengan Naib Canselornya Profesor Dr. Dame Glynis Breakwell berhubung dengan hala tuju  masa hadapan dalam perhubungan USM dengan universiti tersebut berasaskan kepada memorandum persefahaman yang ditandatangani bersama.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan kolaborasi dengan melaksanakan program kolaborasi Doktor Pengurusan Perniagaan - DBA (Pendidikan Tinggi) melalui Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) secepat mungkin dengan calon-calon akan mengikuti sebahagian pengajian di USM dan sebahagian lagi di University of Bath,” kata Omar.

Di samping itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk  meneroka penawaran program yang berupaya memberikan nilai  tambah kepada program akademik dan latihan sedia ada di kedua-dua buah universiti  dalam bidang perniagaan antarabangsa, pendidikan antarabangsa, pendidikan dan penyelidikan dasar serta latihan eksekutif dengan beberapa buah fakulti dan institut di sini.

Pelancaran dan perjanjian untuk melaksanakan program-program ini akan dilaksanakan secara berperingkat.

Yang turut hadir bagi pihak University of Bath dalam pertemuan yang berlangsung di sini ialah Timbalan Naib Canselor dan Provost Profesor Bernie Morley, Pro-Naib Canselor (Pengantarabangsaan) Profesor Dr. Colin Grant, Pengarah Institut Penyelidikan Dasar Profesor Nick Pearce, Profesor Hugh Lander, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Profesor Veronica Hope Hailey dan Pengerusi Program DBA Higher Education Profesor Jergen Sanders.

Teks: Mohamad Abdullah


  • Created on .
  • Hits: 921

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024