USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM JUARA KEBANGSAAN PERTANDINGAN 3MT2016

uum1

SINTOK, KEDAH, 10 Mei 2016 - Pelajar Doktor Falsafah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat- Ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Azzalia Kamaruzaman, 28, mencipta nama di pentas kebangsaan apabila berjaya memenangi tempat pertama dalam 3 Minute Thesis Competition kategori Sains & Teknologi yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.

Selain itu, Azzalia turut juga memenangi Anugerah Best of The Best bagi pertandingan berkenaan yang melayakkan beliau mewakili Malaysia dalam pertandingan ini di peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Australia kelak.

Menurut Azzalia, untuk mencapai kejayaan, kita perlu bekerja keras dan saya menyeru semua yang ingin mencapai kejayaan dalam hidup ini untuk terus berusaha dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh untuk mengecapi kejayaan itu.

Selaku juara, Azzalia membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 dan Euro 1,000.

USM juga menghantar 2 lagi peserta iaitu Yap Lang Leng dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) dalam kategori Sains Sosial manakala Mohamed Syazwan Omar bagi kategori kejuruteraan.

Sebanyak 20 IPTA menyertai pertandingan ini yang mengumpulkan seramai 54 orang peserta yang bertanding merebut kejuaraan.

Azzalia juga merupakan pemenang hadiah utama bagi pertandingan 3MT anjuran USM untuk kategori Sains dan Teknologi pada pertengahan bulan lalu dan beliau merupakan penyelidik termuda antara tiga pemenang utama bagi pertandingan ini.

3MT ialah pertandingan komunikasi penyelidikan yang dibangunkan oleh University of Queensland dan pertandingan ini adalah untuk mencabar pelajar Doktor Falsafah membentangkan topik tesis mereka dalam masa 3 minit. 3MT membangunkan kemahiran akademik, pembentangan dan komunikasi penyelidikan serta menyokong pembangunan kapasiti penyelidikan pelajar secara terperinci kepada penonton.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1478

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024