USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM DIGESA BUDAYAKAN AMALAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

IMG 0005jh

PULAU PINANG, 21 Mac 2015 - Setiap warga Universiti Sains Malaysia (USM) digesa untuk memberi keutamaan kepada aspek-aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) malah membudayakan amalan KKP pada setiap masa tidak kira di mana jua di dalam kampus.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata aspek KKP tidak boleh dipandang ringan atau diambil mudah malah merupakan tanggungjawab setiap warga kampus untuk mengamalkannya kerana kegagalan untuk menerapkan dan melaksanakan prosedur keselamatan (safety and security) dan juga kesihatan pekerjaan akan mengundang risiko kemalangan dan kemudaratan.

IMG 0041jh

IMG 0051hy

“USM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi amat mengambil berat dan prihatin terhadap semua aspek yang melibatkan keselamatan dan kesihatan pelajar, staf dan masyarakat kampusnya.

“Ini dapat dilihat daripada pelbagai langkah yang wajar telah diambil dalam usaha mewujudkan suasana yang selamat, sihat dan sejahtera di kesemua kampusnya sejajar dengan keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan aspirasi USM untuk membudayakan amalan KKP dalam kalangan warganya,” kata Omar semasa merasmikan majlis penutup Kempen Keselamatan (Safety & Security) dan Kesihatan Pekerjaan USM 2015 (KKP USM 2015) di sini hari ini.

IMG 0035

IMG 0053

Tambah Omar, penganjuran kempen ini membuktikan komitmen USM bersama-sama mendukung hasrat kerajaan untuk membangunkan modal insan yang selamat, sihat dan produktif dengan meningkatkan lagi tahap kesedaran dan kefahaman tentang peri pentingnya pengamalan KKP di tempat kerja.

Omar juga merakamkan penghargaannya kepada pelbagai agensi dan jabatan luar yang berkaitan dengan aspek KKP terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan kempen ini, dan juga bantuan dan kerjasama yang dihulurkan selama ini kepada Universiti serta mengharapkan kerjasama di antara kedua-dua pihak dapat diperkukuhkan lagi pada masa-masa akan datang.

IMG 0114h

Kempen KPP USM 2015 yang dianjurkan pada kali ini adalah merupakan urutan daripada kempen-kempen keselamatan yang pernah dianjurkan oleh USM sebelum ini iaitu Kempen Mencegah Kebakaran 1991, Kempen Keselamatan (Safety) 1994 dan Kempen Keselamatan (Safety & Security) USM 2003.

IMG 0326

Bertemakan “Keselamatan dan Kesejahteraan Kampus Tanggungjawab Bersama”, kempen KPP USM 2015 yang bermula sejak 3 Mac 2015 adalah lebih menyeluruh dan memuatkan pelbagai aktiviti menarik yang telah mendapat sambutan hebat bukan sahaja dalam kalangan warga kampus tetapi juga masyarakat luar kampus seperti seminar, bengkel, ceramah, pameran keselamatan, pertandingan dan peraduan.

Dalam majlis yang sama, Naib Canselor telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang beberapa pertandingan yang dijalankan di sepanjang kempen tersebut termasuk acara kemuncak iaitu pertandingan kawad basah pili bomba.

IMG 0344h

Dalam pertandingan akhir kategori universiti/IPT/badan-badan kerajaan/berkanun, pasukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) muncul sebagai johan mengalahkan 3 buah pasukan yang lain dengan catatan masa terpantas iaitu 56.3 saat, manakala pasukan Continental Automotive menjuarai kategori kilang-kilang dan hotel-hotel Pulau Pinang dengan catatan masa 1 minit 3 saat.  

IMG 0356bn

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kempen KPP USM 2015 merangkap ahli Lembaga Gabenor Universiti Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM Profesor Dr. Zainal Arifin Ishak; Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Perai mewakili Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang Azrul Hafiz Nor Azmi; Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) USM Mohammad Zaip Ahmad dan pegawai-pegawai utama Universiti. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1631

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024