USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH KOLABORASI DENGAN UNIVERSITI REPUBLIK CZECH

IMG 20160506 WA0015

USM, PULAU PINANG, 6 Mei 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang dalam rangka lawatan kerja rasmi di beberapa buah universiti di Republik Czech sejak Selasa lalu telah menandatangani beberapa dokumen persefahaman untuk mengukuhkan kolaborasi dengan universiti-universiti ternama di sana.

“USM menjadi universiti pertama di Malaysia berkolaborasi  dengan Technical University of Liberec (TUL) Republik Czech, sebuah universiti yang berfokus kepada teknologi dan terkenal dengan hasil kerja dalam bidang teknologi nano dengan hampir keseluruhan kemudahan dan makmal berfokus kepada teknologi ini,” kata Omar.

Tambahnya, makmal-makmal di sini adalah yang termaju dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dalam bidang teknologi nano terutamanya untuk penyelidikan oleh pelajar dan ahli-ahli akademik.

IMG 20160506 WA0016

“Persefahaman yang ditandatangani ialah untuk mencapai tiga tumpuan utama iaitu pertukaran pelajar yang akan dilakukan segera dengan USM akan menghantar beberapa orang pelajar pada sidang akademik 2016/2017, kolaborasi penyelidikan yang melibatkan ahli-ahli akademik dari kedua-dua buah universiti yang telah dikenalpasti serta kolaborasi program-program universiti dalam bidang-bidang yang dipersetujui untuk tempoh 3 – 5 tahun yang akan datang,” kata Omar yang menemui Rektor TUL, Profesor Dr. Ing. Zdnek Kus dan meletakkan USM dalam peta antarabangsa universiti tersebut.

Tegasnya untuk merealisasikan usaha ini, Kedutaan Malaysia di Republik Czech dijangka akan memainkan peranan dalam menyelaras dan memantau usaha ini. Sepanjang berada di sini, Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia di Republik Czech, Nurmiza Zakaria turut serta dalam lawatan-lawatan tersebut dan menyaksikan kolaborasi yang dijalankan oleh USM dengan universiti-universiti di sini.

USM juga  turut mengadakan perbincangan kolaborasi dengan universiti tertua di Republik Czech iaitu Charles University yang mempunyai lebih 51,000 orang pelajar dan merupakan sebanyak 13% daripada keseluruhan pelajar yang berada di negara tersebut dengan mempunyai 5 buah fakulti pengajian Sains Perubatan dan sangat kuat dan berpengaruh dalam Seni, Sastera dan Kemanusiaan.

Pada masa ini terdapat seramai 120 orang pelajar Malaysia mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Pertama Sains Perubatan.

thumbnail IMG 20160506 WA0014

“USM merancang untuk menghantar lebih ramai pelajar mengikuti pengajian ataupun menjalankan latihan di sini terutamanya pada peringkat ijazah tinggi (Ph.D) termasuk melibatkan ahli-ahli akademik bermula dengan mengenal pasti bidang untuk kolaborasi  secara khusus berdasarkan minat dan kekuatan bersama,” kata Omar.

Di samping itu, USM turut membincangkan persefahaman bersama untuk berkolaborasi dengan  Czech Academy of Sciences yang ditubuhkan sejak tahun 1785 sebagai badan yang menghimpunkan lebih 50 institusi penyelidikan di negara tersebut.

Di sini, delegasi USM mengadakan perbincangan dengan President of the Council of International Affairs Dr. Hana Sychrova.

thumbnail IMG 20160506 WA0017

“Akademi ini bersedia menerima pelajar ijazah tinggi USM melakukan penyelidikan di sini sesuai dengan kedudukannya yang menawarkan pengajian pada peringkat ijazah dan tanpa ijazah sebagai pertubuhan bebas yang menyumbang kepada agenda pembangunan negara mahu pun dunia seluruhnya,” jelas Omar.

Naib Canselor USM itu dijangka akan turut berbincang dan menandatangani persefahaman dengan beberapa buah universiti di Republik Czech lagi untuk mengukuhkan kolaborasi antarabangsa sebagai sebahagian daripada agenda utama untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Delegasi USM turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dan Pengarah Pejabat Kolaborasi Antarabangsa Profesor Dr. Lee Keat Teong dan dijangka akan mengadakan mesyuarat dan pertemuan dengan beberapa pihak lain di United Kingdom sebelum kembali ke tanahair pada minggu hadapan.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Sumbangan Naib Canselor USM

  • Created on .
  • Hits: 1100

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024