USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANUGERAH AL-BIRUNI MBBC 2016 MILIK SHAIKH IRFAN ZIKRY

thumbnail Al Biruni

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mei 2016 – Anugerah Al-Biruni yang diperkenalkan sempena memperingati seorang  ilmuan Islam, saintis dan  ahli falsafah yang diiktiraf sebagai saintis pada usia semuda 17 tahun iaitu Abu al-Rayhan Muhammad Ibn Ahmad al-Biruni diberi kepada pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar Shaikh Irfan Zikry Shaikh Mohamed Imran oleh Malaysia Brain Bee Challenge (MBBC) 2016 dalam Pertandingan Neurosains Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Shaikh Irfan yang tidak menjangkakan  memperoleh anugerah ini bersyukur atas kejayaannya kerana persaingan hebat dari seluruh sekolah dalam Malaysia.

Penyertaan kali kedua ini adalah hasil galakan guru sekolahnya.

“Program anjuran USM ini telah menarik minat saya dalam bidang neurosains, sebelum ini tiada maklumat berkaitan dalam bidang ini yang didedahkan kepada para pelajar sekolah tentang kepentingan kerjaya neurosains.

“Dengan menyertai pertandingan ini, dapat memberi pengalaman baru dan boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk saya menentukan hala tuju pembelajaran saya selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya.

Sementara itu, ibu Shaikh Irfan, Farah Adriza Zabir berkata cara pembelajaran Shaikh Irfan sedikit berbeza, di mana dia lebih menumpukan perhatian di dalam kelas berbanding belajar secara berkumpulan atau persendirian.

“Saya juga mengamalkan penjagaan kesihatan dan pemakanan anak-anak dari kecil lagi iaitu dengan menggalakkan pemakanan sunnah seperti susu kambing, jus kurma, dan kismis.

 

thumbnail MBBC 3

“Selain itu, sokongan moral amat penting terutama dari keluarga sendiri kerana dapat membantu menaikkan semangat anak-anak seperti mana kehadiran kami sekeluarga pada hari ini walaupun jarak tempat pertandingan agak jauh,” ujarnya.

Tambah Farah lagi, selain sokongan, doa daripada seorang ibu mengiringi kejayaan anaknya pada hari ini dan berharap Shaikh Irfan akan berjaya dalam apa jua bidang yang bakal diceburinya kelak.

Teks: Nuradlin Syafini Nawi (Pelajar Internship UiTM), Siti Nur Zainab (Pelajar Internship UUM)
Foto: Mohd Asrar Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 1275

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024