USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BERHASRAT HASILKAN GRADUAN DOKTOR FALSAFAH (PhD) BERBUDAYA USAHAWAN

USM, PULAU PINANG, 28 April 2016 – Universti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk melahirkan graduan terutamanya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) yang berbudaya usahawan dalam meningkatkan pembangunan negara.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, sebagai sebuah universiti penyelidikan, USM kini telah mencapai sasaran dalam menghasilkan lebih 500 orang graduan di peringkat doktor falsafah seperti yang diperlukan oleh rata-rata universiti penyelidikan di seluruh dunia.

“Kini, USM akan memberi fokus kepada pelajar-pelajar di peringkat Doktor Falsafah supaya mereka menjalankan penyelidikan dalam bidang-bidang termaju dan releven. Fokus akan diberikan kepada kualiti penyelidikan mereka supaya graduan ini boleh membawa hasil penyelidiikan mereka ke pasaran,” katanya.

Tambah Omar, USM kini sedang melihat bagaimana universiti boleh membantu melahirkan graduan kedoktoran keusahawanan di mana mereka bukan sahaja mempunyai PhD, tetapi akan menjadi usahawan yang dapat berdiri dengan sendirinya.

“Kita sedang merancang untuk memastikan bahawa bukan sahaja graduan USM ini diperlukan oleh institusi penyelidikan dan IPT tetapi pada masa hadapan mereka boleh menjadi pencetus kapitalis untuk pembangunan negara,” kata Omar.

Jelasnya lagi, USM akan pastikan pelajar di peringkat doktor falsafah mempunyai hala tuju penyelidikan yang jelas dan mereka bersifat produktif dalam menjalankan penyelidikan dan untuk masa hadapan USM akan cuba melibatkan bidang keusahawanan.

“Pada akhirnya nanti, universiti boleh menghasilkan graduan yang berfokus kepada keusahawanan membawa penyelidikannya ke pasaran. Bilangannya pada masa kini sedikit tetapi kalau kita letakkan beberapa program yang sesuai saya yakin kita boleh sampai ke sehingga 15 peratus daripada graduan Doktor Falsafah kita boleh menjadi usahawan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti melibatkan pemasaran dan pembangunan produknya untuk dikormersilkan,” katanya semasa sidang media khas pengumuman Upacara Konvokesyen ke-53 USM hari ini.

Seramai 1,160 orang graduan yang akan menerima ijazah dalam Upacara Konvokesyen Ke-53 Universiti Sains Malaysia (USM).

Canselor USM, D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail akan menyampaikan ijazah kepada 260 orang siswazah yang terdiri daripada Ijazah Kehormat, Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Kesihatan Awam, Doktor Pendidikan, Doktor Pentadbiran Perniagaan serta 150 graduan sarjana pada sidang pertama yang akan bermula jam 10.00 pagi.

Manakala Sidang Kedua pula akan diadakan pada jam 3.00 petang pada hari yang sama, yang dipengerusikan oleh Pro Canselor Tan Sri Datuk Mustafa Mansur yang akan menyampaikan ijazah kepada 342 orang graduan sarjana dan 408 graduan Ijazah Sarjana Muda.

Sementara itu, Omar turut mengumumkan bahawa USM akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan (D.Mgmt) kepada tokoh Korporat dan Perbankan yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif serta Pengasas Kumpulan AmBank dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amcorp, Tan Sri Azman Hashim.

“Canselor USM berkenan memberikan Ijazah ini di atas sumbangan bakti beliau kepada bidang pengajian tinggi di universiti-universiti seluruh Malaysia melalui yayasan dan entiti yang berkaitan dengan Tan Sri Azman Hashim di mana beliau membuat banyak sumbangan dalam pelbagai aspek.

“Di USM misalnya, beliau telah memberikan dana untuk membina Azman Hashim USM Sports Arena dan juga beberapa universiti yang lain dalam kemajuan pengajian tinggi. Kita berharap dapat meningkatkan pembangunan Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia dengan lebih ramai lagi penglibatan ahli-ahli korporat industri,” kata Omar.

Keseluruhannya USM telah menghasilkan sejumlah 153,000 orang siswazah merangkumi siswazah ijazah tinggi dan ijazah pertama sejak penubuhannya.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 719

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024