USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KELUARKAN 17 SISWAZAH SULUNG MBA DENGAN MARA

mba12

USM, PULAU PINANG, 3 Mei 2016 – Seramai 17 orang pegawai di Majlis Amanah Rakyat (MARA) antara penerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan sempena Upacara Konvokesyen ke-53 Universiti Sains Malaysia (USM) yang baru melabuhkan tirainya baru-baru ini.

Mereka merupakan kumpulan pertama program pesisir Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dengan kerjasama antara Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) USM dan MARA.Menurut Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni), Dr. Salmi Mohd Isa, kerjasama yang dijalinkan antara pihak MARA dan USM telah berlangsung sejak tiga tahun yang lalu iaitu pada tahun 2013.

“Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan ini diperkenalkan melalui kerjasama akademik antara USM dan MARA dengan pengambilan seramai 20 orang untuk kumpulan pertama yang terdiri daripada pegawai yang sedang berkhidmat di bawah MARA termasuk pensyarah di bawah MARA,” tambahnya.

Menurutnya lagi, mereka yang bergraduasi pada kali ini telah mengikuti pengajian di bawah GSB menggunakan modul pembelajaran daripada USM serta pensyarah yang mengajar juga daripada USM selama dua tahun setengah.

“Program yang ditawarkan oleh pihak GSB ini banyak membuka peluang kepada pegawai-pegawai yang sedang berkhidmat di MARA untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi,” kata Salmi.

Harapannya, kerjasama yang dijalinkan bersama-sama MARA ini akan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan lebih ramai lagi pegawai-pegawai yang sedang berkhidmat dapat melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Kita juga sedang mengintai peluang untuk menjalinkan kerjasama bersama-sama jabatan kerajaan yang lain dalam menawarkan program pesisir dalam membantu penjawat awam melanjutkan pelajaran,” tambahnya lagi.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1860

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024