USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM GARIS EMPAT LANGKAH HADAPI CABARAN

thumbnail IMG 20160502 WA0014

USM, PULAU PINANG, 30 April 2016 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menggariskan empat langkah utama untuk menghadapi cabaran dan kekangan yang ada untuk menghadapi masa hadapan.

"Berikutan kekangan dana dan kewangan masa kini, universiti mengajak semua pihak bersama-sama menghadapi kesan ekonomi dan pengurangan dana serta sumber yang ada dengan mengamalkan budaya hidup sederhana, dan mengoptimumkan sumber universiti," kata Omar.

Menurutnya, semua pihak perlu memanfaatkan teknologi dan setiap jaringan kerjasama, kolaborasi dan sumber yang ada dengan sebaik-baiknya dan kreatif untuk keluar dari apa jua cabaran yang ada untuk terus bergerak ke hadapan.

IMG 9323f

“Universiti juga sentiasa mendorong dan mengajak semua ahli akademiknya meningkatkan lagi usaha dalam kerja penyelidikan peringkat tinggi, melaksanakan kolaborasi dengan pelbagai pihak yang berkewibawaan dan dihormati di seluruh dunia dan antarabangsa.

“Seterusnya universiti juga akan terus melebarkan usaha dalam mengkomersialkan produk dengan memasuki pasaran antarabangsa dan dunia dalam bidang teknologi termaju merentas bidang teknologi seperti nano LED, biomass, bioplastik, herbal dan supercritical carbon dioxide (sCO 2) conductivity melalui kerjasama dan kolaborasi dengan pelbagai pihak serta kolaborasi secara berterusan,” katanya.

IMG 9330b

USM akan memperhebatkan lagi program pengantarabangsaannya sebagai asas dalam meningkatkan lagi bilangan pelajar antarabangsa yang berkualiti di dunia. Pada masa yang sama juga USM berusaha membina hub pendidikan tinggi secara persisir mahu pun meningkatkan penawaran program-program kembar atau secara bersama dengan pelbagai institusi terkemuka dunia terutamanya pada peringkat ijazah tinggi seperti yang kita berjaya lakukan dengan institusi di Perancis dan Jerman.

Tambah Omar, Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) yang dijalankan USM sejak 2008 telah membuahkan hasil antaranya kejayaan USM dalam peningkatan kedudukan dalam QS World University Ranking 2015 bagi subjek Sains Persekitaran meraih nombor 1 di Malaysia dan nombor 31 di dunia. Dalam QS World University Ranking 2015 juga, di bawah kategori universiti berusia 50 tahun ke bawah, USM berjaya mendapat nombor 1 di Malaysia dan nombor 26 di dunia.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-53 USM hari ini.

IMG 9434f

Seramai 1,160 orang graduan menerima ijazah dalam Upacara Konvokesyen Ke-53 ini termasuk 259 orang siswazah Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Kesihatan Awam, Doktor Pendidikan, Doktor Pentadbiran Perniagaan serta 492 graduan ijazah sarjana dan 408 graduan ijazah pertama. USM telah berjaya melahirkan sejumlah 153,000 orang siswazah merangkumi ijazah tinggi dan ijazah pertama sejak penubuhannya.

Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1207

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024