USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USIA BUKAN PENGHALANG WARGA EMAS TERIMA PhD

IMG 0344g

USM, PULAU PINANG, 30 April 2016 – Faktor usia bukan penghalang dalam mencipta kejayaan yang lebih gemilang malah boleh dijadikan pemangkin untuk melakukan yang terbaik dan seterusnya merealisasikan usaha bagi menyumbang bakti dalam bidang akademik.

Begitulah kesungguhan yang ditunjukkan oleh Abdul Malik Salleh, 69, apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau yang ditemui di Upacara Konvokesyen ke-53 USM menyatakan tetap bersemangat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi meskipun telah memasuki usia warga emas.

Menurutnya, tekad meneruskan pengajian pada usia yang semakin lanjut adalah kerana percaya pada prinsip proses pembelajaran seumur hidup serta dorongan daripada isterinya yang juga graduan Doktor Falsafah USM pada tahun 2012.

IMG 0374g

“Ilmu perlu diteroka dan dicari sepanjang hayat. Berpegang kepada prinsip ini, saya meneruskan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan menjayakan impian untuk menyumbang khidmat dalam bidang akademik,” katanya yang ditemui, di sini hari ini.

Beliau yang merupakan pesara pensyarah di Institut Perguruan Darul Aman, Jitra memilih untuk melanjutkan pelajaran di USM kerana lokasinya yang dekat dan pensyarahnya yang banyak membantu.

Menurutnya, belajar bersama-sama dengan isterinya banyak memberikan semangat kepadanya untuk meneruskan pengajian sehingga peringkat ini dan sentiasa berusaha untuk menghabiskan pengajiannya walaupun ada masalah kesihatan.

"Saya dan isteri sama-sama menyambung pengajian di USM pada tahun 2007 dalam bidang pendidikan tetapi atas masalah kesihatan, saya terpaksa tangguhkan pengajian selama dua tahun sebelum menyambung pula sehingga berjaya hari ini," kata bapa kepada lima cahaya mata ini.

Isterinya, Dr. Rahmah Hanafi, 65, berkata, kejayaan suaminya pada hari ini merupakan satu kegembiraan buat dirinya dan keluarga apatah lagi mereka sama-sama menyambung pengajian dalam bidang yang sama.

"Kejayaan yang diperoleh oleh suami dapat memberi inspirasi kepada anak-anak untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Dua anak perempuan saya kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Tinggi di USM dan Universiti Utara Malaysia (UUM)," tambahnya.

Upacara Konvokesyen ke-53 USM menyaksikan penganugerahan ijazah kepada sejumlah 1,160 graduan dan jumlah itu termasuk 751 ijazah tinggi dan 408 bagi ijazah sarjana muda.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1208

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024