USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TEROKAI PELUANG BAHARU, KATA PRO CANSELOR USM

IMG 0206j

USM, PULAU PINANG, 30 April 2016 – Keupayaan para siswazah membuka peluang baharu adalah perubahan paradigma pemikiran penting dalam membentuk serta mencorakkan generasi masa hadapan yang lebih bermakna.

“Sebagai orang yang terpelajar kita perlu bijak mencari peluang untuk melakukan hal yang di luar dari kebiasaan dan di luar dari yang sedia ada sekaligus berupaya menjadikan dunia ini sebagai pentas terbuka sebagai pemain utama,” kata Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Mustafa Mansur ketika berucap dalam Sidang Pertama Upacara Konvokesyen ke-53 di Dewan Tuanku Syed Putra USM hari ini.

Tambahnya, perubahan paradigma pemikiran ini juga penting seperti mana pentingnya kita membentuk generasi masa hadapan dalam kerangka dan proses pendidikan yang bermula dari sikap dan amalan.

konvo8

Untuk mencapai objektif menjadikan masa hadapan lebih bermakna para siswazah boleh melihat kembali empat tonggak asas utama dalam pendidikan iaitu para siswazah perlu mencari cara untuk memahami sesuatu termasuk dunia dan cabarannya serta penyelesaian yang harus dilakukan, belajar untuk menyesuaikan diri dan belajar untuk menghormati semua perkara untuk membolehkan masyarakat hidup dengan aman dan damai.

“Jika para siswazah faham akan empat asas tonggak ini mereka mampu membangunkan masa hadapan yang cemerlang dan mengekalkan kehidupan yang harmoni dan lestari. Saya juga percaya untuk meneroka bidang baharu bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu berani untuk melakukan perubahan dan transformasi diri,” kata Mustafa.

IMG 0236g

IMG 0410h

Pro Canselor USM itu juga menyeru para siswazah menggunakan peluang dan kesempatan yang ada dengan memanfaatkan sumber yang sedia ada untuk menerokai idea baharu, menjadi seorang yang kreatif, inovatif, tidak bergantung kepada orang lain dan sentiasa membantu orang lain untuk turut sama mencapai kejayaan.

Upacara Konvokesyen kali ke-53 ini menyaksikan kira-kira 1,160 orang graduan menerima ijazah termasuk 259 orang siswazah Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Kesihatan Awam, Doktor Pendidikan, Doktor Pentadbiran Perniagaan serta 492 graduan sarjana dan 408 graduan ijazah pertama.

Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM).

  • Created on .
  • Hits: 779

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024