USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIK USM JALANKAN PENYELIDIKAN KANSER SERVIKS

IMG 1069j

USM, PULAU PINANG, 28 April 2016 – Pokok Beko atau nama saintifiknya oroxylum indicum selalunya dijadikan ulam atau dibuat kerabu terutamanya penduduk di negeri kelantan.

Namun, penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nor Fazila Che Mat, 34, telah berusaha mendapatkan ekstrak daun pokok beko ini untuk dijadikan penawar kanser serviks.

Menurut Dr. Nor Fazila, kajian tentang penawar alternatif kanser serviks ini mula dijalankan pada penghujung tahun 2014 dengan melakukan beberapa ujian awal kepada tiga jenis pokok.

“Pada permulaannya, saya dan seorang penyelidik lagi menjalankan penyaringan terhadap pokok putat, serai kayu dan pokok beko. Hasilnya, kami mendapati ekstrak pokok beko yang paling berkesan dalam meningkatkan kesan perencatan sel kanser,” katanya.

Tambahnya lagi, penyaringan telah dijalankan terhadap gen perencat tumor yang penting badan manusia yang berfungsi untuk merencat sel pertumbuhan kanser dan mendapati ekstrak pokok beko boleh menaikkan lagi aras gen perencat tumor untuk melawan sel kanser dalam tubuh badan manusia.

IMG 1043j

“Kami telah membuat perbandingan dengan pokok beko dengan satu ubat (Cisplatin) yang biasa digunakan oleh pesakit kanser serviks. Kami mendapati walaupun kepekatan adalah lebih rendah dalam ekstrak pokok beko berbanding Cisplatin tetapi ia dapat menghasilkan kesan yang sama,” jelas pensyarah Bioperubatan itu. 

Menurutnya lagi, geran penyelidikan yang diterima daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) yang berjumlah RM29,835 yang diterima baru-baru ini akan digunakan dalam mengkaji sejauh mana kesan ekstrak daun pokok beko terhadap kanser serviks yang disebabkan oleh virus Human Papillomavirus 16 (HPV-16).

Pokok beko yang merupakan satu tumbuhan liar boleh didapati di kebanyakannya negara- negara Asia.

“Dalam tempoh dua tahun ini, penyelidikan akan tertumpu kepada usaha mengurangkan kadar kepekatan dadah dalam ubat-ubatan rawatan kanser serviks dan untuk jangka masa yang panjang, kami berharap dapat mengeluarkan penawar kanser serviks melalui terapi alternatif mengunakan alam semulajadi iaitu pokok beko ini,” tambahnya lagi.

IMG 1076g

Dalam pada masa yang sama, seorang lagi penyelidik USM, Dr. Neethia Mohana Kumaran, 34, dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat turut menerima geran penyelidilan kanser MAKNA yang bernilai RM30,000 dalam menjalankan penyelidikan yang memberi tumpuan terhadap perbezaan sifat di antara kedua-dua HPV 16 dan HPV 18 di mana kedua-duanya merupakan virus yang berisiko tinggi menyebabkan kanser serviks.

“Tumpuan lebih kepada bidang terapeutik kanser dengan usahanya melihat penggunaan dadah yang dikenali sebagai BH3 mimetics untuk membunuh sel kanser dengan melihat kepada bagaimana tindak balasnya terhadap penggunaan ‘2-dimensional’, ‘3-dimensional spheroid assays’ dan ‘3-dimensional spheroids’,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua penyelidik muda USM kerana berjaya menerima geran daripada MAKNA, sebuah badan NGO yang memperjuangkan penyakit kanser di Malaysia.

“Geran penyelidikan ini amat bermakna kerana MAKNA bukanlah sebuah badan pertubuhan yang menyediakan geran untuk penyelidikan tetapi pengiktirafan yang diterima oleh penyelidik USM ini membuktikan penyelidik USM amat komited menjalankan penyelidikan terhadap penyakit kanser terutamanya dalam kanser serviks,” katanya lagi dalam satu sidang media khas yang diadakan di sini, hari ini.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1127

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024