USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TEATER TRADISIONAL MAKYONG SINDONG 2016

13103305 1034177196676428 3903401217176581166 n

Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Seni serta Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Utara akan mengadakan pementasan Teater Tradisional Makyong “Sindong” 2016 pada 24hb dan 25hb Mei, 2016 pada jam 8.30 malam bertempat di Auditorium Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia.

Menurut Pegawai Kebudayaan Bahagian Pengurusan Acara, Promosi dan Perhubungan Antarabangsa Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia, Puan Andy Siti Nurhidayah Rahim, teater Makyong “Sindong” ini diarahkan oleh ‘Adiguru Rebab’, saudara Che Mat Jusoh, seorang penggiat muzik dan teater tradisional tanahair yang tidak asing lagi di Malaysia.

Katanya, pementasan ini turut diserikan dengan lakonan oleh ‘Pak Yong Malaysia’ saudara Rosnan Rahman dari Istana Budaya serta beberapa orang aktivitis teater tradisional dan moden tempatan seperti Nurliyana Mohama, Muna, Norhelmi Othman, Murshid Md. Hussain Yusof Bakar, Ramnah Ramli, Andy Siti Nurhidayah Rahim, dan ramai lagi.

“Persembahan ini turut mendapat kerjasama dari Kumpulan Tarian Adikarma dari Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM serta turut diberi pendedahan berkaitan teater tradisional ini adalah kepada pelajar-pelajar daripada program Tunas Budaya bersama USM iaitu Kumpulan Tunas Tari Sekolah Kebangsaan Minden Height, yang turut diberi peluang mengenali dan menyelami persembahan Teater Tradisional Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya lagi, persembahan teater tradisional ini mengisahkan tentang seorang gadis yatim piatu bernama Sindong yang sering didera oleh ibu tirinya, Mek Bunga dan suatu hari, atas alasan tidak munasabah, Sindong telah dihalau dari rumah Mek Bunga, maka Sindong pun membawa diri tanpa arah tujuan dan dengan kesaktian dan pertolongan Mak Cik Sedewa-dewa dari kayangan, Sindong telah dipulihkan tenaga dan diberikan sepersalinan pakaian yang akhirnya mengubah nasib hidup beliau.

Kisah sedih Sindong mendapat simpati daripada sepasang suami isteri iaitu Tok Selamoh dan Wak Lengge yang kemudiannya telah mengambil Sindong menjadi anak angkat mereka dan tidak berapa lama kemudian, Sindong telah menemui Wan Kenari untuk mempelajari tarian. Wan Kenari yang bersimpati dengan nasib Sindong telah menerima Sindong sebagai anak didik tarinya. Walaupun kehadirannya tidak disenangi oleh beberapa rakan, namun Sindong tetap bersabar.

Sementara itu, di Istana Gunung Jerai, Raja Besar telah menganjurkan satu pesta keraian bagi mencari calon isteri Raja Muda Tengku Ahmad. Pertemuan mata antara Raja Muda Tengku Ahmad dan Sindong ketika persembahan di istana telah membibitkan rasa cinta dan akhirnya Raja Muda melamar Sindong menjadi isterinya. Apakah yang terjadi kepada Mek Bunga? Adakah Raja Muda memaafkannya. Sama- sama kita ikuti kisah selanjutnya.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1276

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024