USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DITAWAR WUJUD HUB PENDIDIKAN TINGGI DI BENUA AFRIKA

IMG 0226d

USM, PULAU PINANG, 27 April 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini ditawarkan untuk mewujudkan hub pendidikan tinggi untuk penawaran program peringkat sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) terutamanya dalam bidang pengurusan dan pengurusan perniagaan melalui kerjasama dengan Makerere University Business School (MUBS) Kampala, Uganda.

Menurut Dekan Fakulti Pengajian Siswazah dan Penyelidikan MUBS, Dr. Muhammed Ngoma pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan USM untuk tujuan tersebut memandangkan pasaran benua Afrika yang besar dan kedudukan Uganda yang strategik dalam usaha sedemikian.

“Dengan cara ini, USM dapat membantu membawa kepakaran dari Malaysia untuk tujuan tersebut ketika Uganda dan Afrika sedang berusaha membangunkan sektor pendidikannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga terpelajar dan terlatih untuk pembangunan negara-negara di sana terutamanya Uganda,” kata Muhammed Ngoma.

IMG 0238h

USM dan MUBS juga berhasrat menerokai kerjasama dalam menawarkan ijazah bersama pada peringkat ijazah tinggi di sana.

Tambahnya lagi, dengan adanya kolaborasi bersama USM, diharap dapat meningkatkan lagi taraf pendidikan di MUBS terutamanya untuk pensyarah menyambung pelajaran di peringkat Ph.D di USM. 

Terdahulu, beliau menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman untuk kedua-dua pihak menjalin kerjasama pendidikan termasuk pertukaran pelajar dan kakitangan, pertukaran kepakaran dan penyelidikan.

Omar yang mengalu-alukan peluang yang ditawarkan ini berkata, USM akan merealisasikan usaha menjalinkan kerjasama pintar dan kolaborasi untuk masa hadapan.

IMG 0248g

“Jika sebelum ini USM berupaya melakukan usaha seperti ini di negara-negara lain seperti India dan Indonesia, kolaborasi seperti ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin untuk mengembangkan lagi kepakaran dan pengalaman yang ada yang melibatkan kakitangan mahu pun para penyelidik dan pelajar ijazah tinggi,” kata Omar.

Jelas Omar lagi, kerjasama ini juga akan melibatkan pensyarah-pensyarah dari MUBS datang ke USM untuk menjalankan penyelidikan bersama serta akan berkolaborasi dengan beberapa pusat pengajian di USM seperti Pusat Pengajian Pengurusan dan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan.

"USM kini mempunyai pelajar-pelajar dari Uganda, Afrika Selatan dan Sudan, dan kita berharap dapat tingkatkan lagi jumlah pelajar dari Benua Afrika ini terutama di peringkat ijazah sarjana dan Ph.D. 

IMG 0268f

IMG 0314h

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Profesor Madya Dr. Narimah Samat, dan kakitangan akademik kanan MUBS, Kutosi Ayub Masaba.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 821

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024