USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-MIH TANDATANGAN MOU BAWA PRODUK PENYELIDIKAN USM KE LUAR NEGARA

IMG 0282h

USM, PULAU PINANG, 27 April 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani persefahaman dengan MyInnoHub (MIH) yang merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mewujudkan ekosistem inovasi dengan membawa hasil penyelidikan universiti ke pentas dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIH, Vincent Wong Wai Sang berkata, inilah langkah awal pihaknya yang percaya kepada hasil penyelidikan USM yang berdaya saing dan mampu menembusi pasaran dunia.

“Kami percaya terhadap kemampuan produk USM terutamanya dalam pelbagai bidang kepakaran khusus untuk industri bio-mass yang sesuai untuk kelestarian alam sekitar dan sangat diperlukan di seluruh dunia, bio-plastik dan bio-degradable iaitu plastik terurai dan produk herba yang dapat diketengahkan di pasaran dunia serta sistem pengekstrakan supercritical carbon dioxide (sCO. 2) yang membantu mereka yang terlibat dalam Industri Kecil Sederhana (IKS),” katanya berucap dalam majlis tersebut.

 IMG 0286h

Tambahnya lagi, pihaknya akan berusaha untuk membawa produk-produk penyelidikan tersebut untuk pasaran Eropah, Amerika Syarikat, Taiwan dan Republik Rakyat China serta beberapa negara lain di samping memajukan dalam pasaran tempatan termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Walau pun sesetengah produk terutamanya dari rantau ini belum diyakini di sesetengah negara, kita akan berusaha untuk memecahkan kebuntuan tersebut agar hasil penyelidikan universiti di negara ini terutamanya USM dapat menembusi pasaran di negara luar,” katanya lagi.

mou 12

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berharap agar usaha ini akan berjaya dan menyokong usaha sedemikian dengan melibatkan lebih banyak produk penyelidikan dari universiti ini.

“Kita sedar tentang halangan-halangan yang ada apatah lagi kesukaran untuk universiti dan para penyelidik mahu pun pakar kita berbuat demikian, jadi kolaborasi seperti ini amat bermakna dalam mengetengahkan produk-produk yang ada untuk pasaran dunia,” kata Omar.

Jelas Omar lagi, bidang berkaitan biojisim, bioplastik, produk herba dan sistem pengekstrakan supercritical carbon dioxide (sCO. 2) merupakan bidang kekuatan USM melalui penerokaan pembangunan produk.

mou 13

IMG 0314h

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey dan Pengarah Pejabat Inovasi Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Rahmat Awang.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 875

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024