USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LATIH PELAJAR DALAM BIDANG KEUSAHAWANAN

thumbnail Charity car wash 1

KUBANG KERIAN, 24 April 2016 – Projek ‘Charity Car Wash’ anjuran pelajar tahun dua Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) yang bermula dari 23 April sehingga 25 April mencuri tumpuan para pengunjung di Karnival i-Sihat dan Makanan Halal yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, USM.

Projek ini adalah aktiviti kesinambungan yang bertujuan untuk mengutip dana bagi Program Tabung ‘Free Food’ dalam membantu para pelajar yang tidak berkemampuan dengan mengedarkan kupon makanan bernilai RM4 untuk setiap 45 orang pelajar yang telah dikenal pasti.

Menurut Ketua Projek ‘Charity Car Wash’ yang juga merupakan pelajar perubatan USM tahun dua, Nurul Aqilah Ab Razak, aktiviti seumpama ini membuka ruang untuk para pelajar terlibat dalam bidang keusahawanan dan pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai seorang muslim seperti yang dituntut dalam agama Islam untuk membantu rakan-rakan seperjuangan yang dalam kesusahan.

“Kami sebulat suara mengadakan aktiviti yang efektif ini memandangkan ia tidak memerlukan kos atau bajet yang tinggi untuk dilaksanakan serta senang dalam mengumpul tenaga kerja kerana ia hanya melibatkan aktiviti mudah seperti mencuci dan membersihkan kenderaan sahaja.

thumbnail Charity car wash 2

“Walaupun baru sehari dijalankan, kami sangat berpuas hati apabila berjaya mencuci sebanyak 32 buah kenderaan yang membawa kepada kutipan sebanyak RM312 dan boleh dikatakan projek ini telah berjaya dilaksanakan serta dirasakan berbaloi dengan penat lelah kami untuk hari ini setelah melihat jumlah kutipan,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung karnival yang menyertai projek ‘Charity Car Wash’ ini, Mohd Asri Mohd Zin berkata, aktiviti seumpama ini wajar diteruskan setiap tahun kerana ia mampu mendidik para pelajar untuk berfikir di luar kotak dalam mencari inisiatif lain terutama perbelanjaan untuk menyara diri di universiti.

“Saya sepenuhnya menyokong projek hari ini yang banyak memberi gambaran kepada pelajar tentang susahnya mencari duit dan secara tidak langsung menjadi motivasi kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Selain itu, saya juga berpuas hati dengan hasil kerja mereka dan sukar percaya yang mereka mampu melapangkan masa walaupun sedang sibuk belajar untuk mencari dana dan kebanyakan mereka adalah terdiri daripada pelajar perempuan,” jelasnya.

Teks: Nuradlin Syafini Nawi (Pelajar Internship UiTM) / Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Mohd Sukri

  • Created on .
  • Hits: 694

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024