USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANGKUL MALAYSIA TRUSTMARK SEKTOR AWAM (MTSA)

 DSC3605

PUTRAJAYA, 19 MAC 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan tadbir urus ICT kampus berada di kelas tersendiri apabila berjaya merangkul 'Malaysia Trustmark Sektor Awam (MTSA)' yang diiktiraf oleh Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri Malaysia hari ini.

Pengiktirafan ini meletakkan USM satu-satunya universiti berada di kedudukan 20 agensi perkhidmatan awam terbaik dan cemerlang di dalam libat urus digital yang tepat dan pantas.

 DSC3625

Pengiktirafan kepada USM dibuat mengikut beberapa kriteria terutama melibatkan tahap kepercayaan dan penerimaan pengguna terhadap perkhidmatan dalam talian yang melibatkan transaksi pembayaran.

Majlis penyampaian sijil MTSA ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Dato' Seri Zainal Rahim Seman mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun.

 DSC3644

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato' Dr. Omar Osman yang menerima sijil tersebut berkata, pengiktirafan ini merupakan satu titik tolak untuk USM lebih produktif penggunaan aplikasi dalam talian di masa akan datang.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Bendahari dan Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) atas usaha bersama meningkatkan produktiviti perkhidmatan USM melalui aplikasi dalam talian.

Pada majlis tersebut pautan https://epayment.usm.my/main berjaya ditauliahkan Malaysia Trustmark Sektor Awam (MTSA).

Hadir sama adalah Pengarah Sains@USM Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Bendahari Dr. Rohayati Mohd Isa dan Ketua Pegawai Maklumat, Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Zulham Hamdan.

 DSC3657

 DSC3655

Omar berharap dengan kejayaan ini produktiviti perkhidmatan USM dapat ditingkatkan sebaik mungkin agar mampu menjadi antara agensi awam terbaik di negara ini.

"Sistem keselamatan ICT USM turut diiiktiraf atas kemampuan kita menjaga segala aspek maklumat universiti dan sudah pasti aplikasi dalam talian membawa pelbagai faedah termasuk penjimatan tenaga, kewangan dan sebagainya," kata Omar.

Pentauliahan MTSA ini dinilai melalui pengauditan aplikasi dalam talian agensi terlibat berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh World Trustmark Alliance (WTA) iaitu pendedahan, maklumat, amalan, keselamatan, privasi, alternatif penyelesaian dan pemantauan. Teks dan Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1690

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024